Sunday, March 18, 2012

Kisah Kejayaan - Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu)



DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di ‘gerai kecil’ milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

“Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


“Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.

“Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif ‘menjaja’, dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat ‘pemantauan’ yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti ‘duduk diam’, pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

“Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk ‘membuli’ saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

“Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah,” katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

Kredit : Metro


Wednesday, March 14, 2012

Kisah Kejayaan Ainual Azhar Jasmi – Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd

PENOLAKAN sering dianggap sesuatu yang negatif dan mudah membuat seseorang kecewa. Namun jika direnungkan kembali, pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian, malah kadangkala lebih banyak kebaikan tersembunyi.

Tiga belas tahun lalu, anak Kuala Pilah itu yang bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan sos milik Bumiputera pernah mencadangkan kepada majikannya supaya mengeluarkan mayonis. Beliau yakin produk itu boleh pergi lebih jauh di masa akan datang dan menjadi makanan digemari rakyat Malaysia.



“Ketika itu mayonis belum popular dan dianggap makanan orang Barat. Apabila saya mencadangkan majikan mengeluarkan mayonis, cadangan saya dipandang sepi kerana majikan tidak berani meneroka pasaran bagi produk baru itu.

“Ini menguatkan semangat saya untuk mengusahakannya sendiri. Saya berhenti kerja dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengusahakan produk berkenaan sebelum menghasilkan produk dua tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuknya merintis jalan membangunkan produk yang belum dikenali. Membuat mayonis bukan sesuatu yang mudah.

“Untuk menghasilkan produk baru, kita perlu ada pengetahuan, kefahaman dan teknik pembuatan produk. Untuk mendapatkan pendedahan lanjut mengenai teknik pembuatan mayonis, saya ke Jerman hampir sebulan.

“Tiba di sana, saya dapati teknologi digunakan pengeluar mayonis di negara itu terlalu tinggi. Saya mencari kaedah bagi pemprosesan yang tidak membabitkan pelaburan tinggi. Mengikut kemampuan yang ada, saya berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknik konvensional,” katanya yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi makanan.

Syarikatnya, AJ Food Industries (M) Sdn Bhd berjaya menghasilkan mayonis sendiri diberi nama Jasma iaitu gabungan nama bapa dan ibunya iaitu Jasmi dan Asma. Tidak seperti mayonis di negara Barat dan Arab yang masam, mayonis Jasma bersesuaian cita rasa masyarakat tempatan iaitu rasa masam tetapi lemak manis.

Ketika memperkenalkan produk, Ainual turun padang meminta pekedai memberi peluang kepadanya memasarkan produk. Walaupun pada peringkat awal mereka sukar menerima kerana ada syarikat pesaing yang memonopoli pasaran, penerimaan berperingkat membolehkan Jasma berlegar di pasaran.

Sesuatu yang ajaib, ternyata Ainual bernasib baik atau ‘langkah kanan’ kerana tiba-tiba syarikat pesaing yang mengeluarkan produk mayonis menghadapi masalah membekal. Ini membuka ruang yang luas untuk Ainual memperkenalkan produk Jasma.

“Saya tidak menghadapi masalah besar untuk memasarkan produk walaupun ia belum dikenali dan baru di pasaran. Walaupun pada masa itu pembungkusan kurang cantik, ditambah ia bukan produk makanan tempatan, pekedai dengan mudah memberi peluang saya memasarkan produk Jasma. Namun, kegembiraan itu cuma bersifat sementara kerana apabila syarikat pesaing mengetahui perkara itu, mereka terus melambakkan barangan mereka di pasaran,” katanya.

Tahun pertama dipasarkan, mayonis AJ Food Industries (M) Sdn Bhd mencatat jualan drastik, malangnya jatuh menjunam pada tahun kedua akibat lambakan produk pesaing selain masalah dengan kualiti produk Jasma.

“Mayonis yang kami pasarkan menghadapi masalah kerosakan ketika dalam pasaran. Masalah berlaku pertengahan 2000 dan berlarutan hingga 2004 menyebabkan syarikat hampir ditutup.

“Keyakinan pekedai menurun hingga memberi masalah untuk memasarkan kembali produk disebabkan sukarnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Pada 2004, syarikatnya bangkit daripada kejatuhan dan mengambil masa dua tahun untuk membina semula nama.

“Seperkara yang saya peroleh daripada kejadian itu ialah pelanggan perlu dijaga. Syukur, mereka masih memberi peluang kepada saya memasarkan produk di pasar raya mereka,” katanya.

Menurutnya, antara kekuatan untuknya bangkit daripada kegagalan itu ialah apabila pekerjanya masih setia dan sanggup bersama mengharungi kesusahan dialami syarikat.

Antara pengalaman dilalui ketika memasarkan produk ialah pulang malam dan awal pagi. Malah, beliau pernah ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu menghantar barangan ke Gua Musang kerana tidak memiliki lesen kenderaan membawa barang (GDL).

“Saya nekad meminjam van abang untuk menghantar barangan walaupun tiada lesen kenderaan membawa barang,” katanya.

Bercita-cita menjadikan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dalam pengeluaran mayonis untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, Ainual kini dalam perancangan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah di pasaran iaitu melalui penghasilan makan berasaskan mayonis.

Bagi menjaga nama baik dan kualiti produk, syarikat menyimpan sampel mayonis setiap kali pengeluaran untuk rujukan.

“Kami pernah melalui pengalaman kurang menarik iaitu produk dipasarkan rosak dan apabila merujuk sampel, didapati ia juga rosak. Setiap sampel disimpan sebagai rujukan jika berlaku kes bekalan rosak di pasaran. Selain itu, kami membuat analisis makmal dan analisis kimia bagi memastikan produk dalam keadaan baik, malah pelawat juga tidak digalakkan melawat kilang pemprosesan bagi mengelak pencemaran,” katanya.

PROFIL

NAMA: Ainual Azhar Jasmi
UMUR: 47 tahun
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
JAWATAN: Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Diploma Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) (1981-1983), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan, UPM (1984-1988)
ISTERI: Rokiah Hashim
ANAK: Nurul Syahidah (20); Maisarah (19), Mohd Hafiz Syamil (14) dan Amirah (10)

credit to HMetro

Kisah Kejayaan Dr Rozmey – Herba Prima Marketing Sdn Bhd



Bertapak sebagai sebuah syarikat pengeluar produk makanan kesihatan, Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) yang diasaskan oleh Datuk Dr Che Rozmey Che Din bersama arwah isterinya, Noor Halawiyah Abdullah Shukri di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, Kedah telah mencipta satu fenomena baru kepada pengguna di negara ini.

Beroperasi pada awal 2006, Datuk Dr Che Rozmey yang juga seorang pakar perbidanan dan sakit puan menggunakan kemahiran sebagai seorang doktor pakar untuk menformulasi produk kesihatan sendiri iaitu Jus Mate 5.

Sentuhan dan tindakan berani itu membuahkan hasil apabila kejayaaan demi kejayaan dicipta oleh pengasas HPM itu.

Tindakan berani disertai dengan konsep kejujuran, keikhlasan dan berkat kesabaran menghadapi ujian Allah membawa kepada kejayaan luar biasa sehingga beliau sendiri tidak percaya dengan kejayaan yang begitu pantas itu.

Bermula dengan sebuah pejabat yang dikongsi bersama Jitra Medical Centre (JMC) yang ketika itu menjadi pemangkin kepada pendapatan utamanya, HPM mengorak langkah dengan begitu pantas apabila berjaya membina empayar perniagaan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Kini bangunan JMC itu menempatkan lebih 300 kakitangan HPM dari pelbagai unit yang bertugas 24 jam bagi memberi perkhidmatan yang berbaik kepada pengguna dan pengedar.

Kejayaan demi kejayaan tercipta apabila produk HPM terutama Jus Mate 5 mula memberi ganjaran kepada pengguna. Konsep guna baru jual yang dipratikkan oleh Dr Rozmey membuahkan hasil apabila ribuan testimoni pengguna tampil untuk memberi pengakuan.

Tsunami baru melanda perniagaan HPM apabila medium media cetak yang digunakan oleh Dr Rozmey untuk mencanangkan kejayaan testimoni mendapat maklum balas di luar jangkaan sehingga memaksanya untuk meningkatkan perkhidmatannya termasuk memperkenalkan system belian online.

Selepas empat tahun beroperasi, warga HPM patut berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sehingga syarikat dipelopori oleh usahawan bumiputra ini mampu berdiri sama gagah dengan syarikat lain di Negara ini.

Perjenamaan baru dR Rozmey selaras dengan perkembangan HPM membawa kepada perkembangan cabang perniagaan baru seperti dR Rozmey Skin Care, dR Rozmey Beauty Slimming Fitness Centre (RBSFC), dR Rozmey Body Shop, dR Rozmey Fashion, dR Rozmey Sport Wear dan dR Movie Production.

Kisah Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary



Biodata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Umur : 53 tahun
Pendidikan : SPM
Mula berniaga : 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan : RM1,425 juta
Ranking : Ke 7 terkaya di Malaysia Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Antara syarikat miliknya :

MMC,
Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS,
Gardenia,
DRB-HICOM dan
Bank Muammalat
Kereta : Proton Perdana

Sumbangan sosial:


Yayasan Al-Bukhary,
Institusi pengajian untuk 3,000 pelajar,
Muzium Kesenian Islam,
Kompleks Al-Bukhary,
Menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu,
Pengindahan Masjid Negara,
Sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan
Menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan
haji.
Masjid di Lapangan Terbang Senai,Johor

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula.

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan.

Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau
untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah
pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

Mutiara kata…..

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain.

Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.

Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.