Sunday, March 18, 2012

Kisah Kejayaan - Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu)



DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di ‘gerai kecil’ milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

“Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


“Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.

“Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif ‘menjaja’, dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat ‘pemantauan’ yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti ‘duduk diam’, pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

“Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk ‘membuli’ saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

“Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah,” katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

Kredit : Metro


Wednesday, March 14, 2012

Kisah Kejayaan Ainual Azhar Jasmi – Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd

PENOLAKAN sering dianggap sesuatu yang negatif dan mudah membuat seseorang kecewa. Namun jika direnungkan kembali, pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian, malah kadangkala lebih banyak kebaikan tersembunyi.

Tiga belas tahun lalu, anak Kuala Pilah itu yang bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan sos milik Bumiputera pernah mencadangkan kepada majikannya supaya mengeluarkan mayonis. Beliau yakin produk itu boleh pergi lebih jauh di masa akan datang dan menjadi makanan digemari rakyat Malaysia.



“Ketika itu mayonis belum popular dan dianggap makanan orang Barat. Apabila saya mencadangkan majikan mengeluarkan mayonis, cadangan saya dipandang sepi kerana majikan tidak berani meneroka pasaran bagi produk baru itu.

“Ini menguatkan semangat saya untuk mengusahakannya sendiri. Saya berhenti kerja dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengusahakan produk berkenaan sebelum menghasilkan produk dua tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuknya merintis jalan membangunkan produk yang belum dikenali. Membuat mayonis bukan sesuatu yang mudah.

“Untuk menghasilkan produk baru, kita perlu ada pengetahuan, kefahaman dan teknik pembuatan produk. Untuk mendapatkan pendedahan lanjut mengenai teknik pembuatan mayonis, saya ke Jerman hampir sebulan.

“Tiba di sana, saya dapati teknologi digunakan pengeluar mayonis di negara itu terlalu tinggi. Saya mencari kaedah bagi pemprosesan yang tidak membabitkan pelaburan tinggi. Mengikut kemampuan yang ada, saya berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknik konvensional,” katanya yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi makanan.

Syarikatnya, AJ Food Industries (M) Sdn Bhd berjaya menghasilkan mayonis sendiri diberi nama Jasma iaitu gabungan nama bapa dan ibunya iaitu Jasmi dan Asma. Tidak seperti mayonis di negara Barat dan Arab yang masam, mayonis Jasma bersesuaian cita rasa masyarakat tempatan iaitu rasa masam tetapi lemak manis.

Ketika memperkenalkan produk, Ainual turun padang meminta pekedai memberi peluang kepadanya memasarkan produk. Walaupun pada peringkat awal mereka sukar menerima kerana ada syarikat pesaing yang memonopoli pasaran, penerimaan berperingkat membolehkan Jasma berlegar di pasaran.

Sesuatu yang ajaib, ternyata Ainual bernasib baik atau ‘langkah kanan’ kerana tiba-tiba syarikat pesaing yang mengeluarkan produk mayonis menghadapi masalah membekal. Ini membuka ruang yang luas untuk Ainual memperkenalkan produk Jasma.

“Saya tidak menghadapi masalah besar untuk memasarkan produk walaupun ia belum dikenali dan baru di pasaran. Walaupun pada masa itu pembungkusan kurang cantik, ditambah ia bukan produk makanan tempatan, pekedai dengan mudah memberi peluang saya memasarkan produk Jasma. Namun, kegembiraan itu cuma bersifat sementara kerana apabila syarikat pesaing mengetahui perkara itu, mereka terus melambakkan barangan mereka di pasaran,” katanya.

Tahun pertama dipasarkan, mayonis AJ Food Industries (M) Sdn Bhd mencatat jualan drastik, malangnya jatuh menjunam pada tahun kedua akibat lambakan produk pesaing selain masalah dengan kualiti produk Jasma.

“Mayonis yang kami pasarkan menghadapi masalah kerosakan ketika dalam pasaran. Masalah berlaku pertengahan 2000 dan berlarutan hingga 2004 menyebabkan syarikat hampir ditutup.

“Keyakinan pekedai menurun hingga memberi masalah untuk memasarkan kembali produk disebabkan sukarnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Pada 2004, syarikatnya bangkit daripada kejatuhan dan mengambil masa dua tahun untuk membina semula nama.

“Seperkara yang saya peroleh daripada kejadian itu ialah pelanggan perlu dijaga. Syukur, mereka masih memberi peluang kepada saya memasarkan produk di pasar raya mereka,” katanya.

Menurutnya, antara kekuatan untuknya bangkit daripada kegagalan itu ialah apabila pekerjanya masih setia dan sanggup bersama mengharungi kesusahan dialami syarikat.

Antara pengalaman dilalui ketika memasarkan produk ialah pulang malam dan awal pagi. Malah, beliau pernah ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu menghantar barangan ke Gua Musang kerana tidak memiliki lesen kenderaan membawa barang (GDL).

“Saya nekad meminjam van abang untuk menghantar barangan walaupun tiada lesen kenderaan membawa barang,” katanya.

Bercita-cita menjadikan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dalam pengeluaran mayonis untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, Ainual kini dalam perancangan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah di pasaran iaitu melalui penghasilan makan berasaskan mayonis.

Bagi menjaga nama baik dan kualiti produk, syarikat menyimpan sampel mayonis setiap kali pengeluaran untuk rujukan.

“Kami pernah melalui pengalaman kurang menarik iaitu produk dipasarkan rosak dan apabila merujuk sampel, didapati ia juga rosak. Setiap sampel disimpan sebagai rujukan jika berlaku kes bekalan rosak di pasaran. Selain itu, kami membuat analisis makmal dan analisis kimia bagi memastikan produk dalam keadaan baik, malah pelawat juga tidak digalakkan melawat kilang pemprosesan bagi mengelak pencemaran,” katanya.

PROFIL

NAMA: Ainual Azhar Jasmi
UMUR: 47 tahun
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
JAWATAN: Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Diploma Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) (1981-1983), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan, UPM (1984-1988)
ISTERI: Rokiah Hashim
ANAK: Nurul Syahidah (20); Maisarah (19), Mohd Hafiz Syamil (14) dan Amirah (10)

credit to HMetro

Kisah Kejayaan Dr Rozmey – Herba Prima Marketing Sdn Bhd



Bertapak sebagai sebuah syarikat pengeluar produk makanan kesihatan, Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) yang diasaskan oleh Datuk Dr Che Rozmey Che Din bersama arwah isterinya, Noor Halawiyah Abdullah Shukri di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, Kedah telah mencipta satu fenomena baru kepada pengguna di negara ini.

Beroperasi pada awal 2006, Datuk Dr Che Rozmey yang juga seorang pakar perbidanan dan sakit puan menggunakan kemahiran sebagai seorang doktor pakar untuk menformulasi produk kesihatan sendiri iaitu Jus Mate 5.

Sentuhan dan tindakan berani itu membuahkan hasil apabila kejayaaan demi kejayaan dicipta oleh pengasas HPM itu.

Tindakan berani disertai dengan konsep kejujuran, keikhlasan dan berkat kesabaran menghadapi ujian Allah membawa kepada kejayaan luar biasa sehingga beliau sendiri tidak percaya dengan kejayaan yang begitu pantas itu.

Bermula dengan sebuah pejabat yang dikongsi bersama Jitra Medical Centre (JMC) yang ketika itu menjadi pemangkin kepada pendapatan utamanya, HPM mengorak langkah dengan begitu pantas apabila berjaya membina empayar perniagaan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Kini bangunan JMC itu menempatkan lebih 300 kakitangan HPM dari pelbagai unit yang bertugas 24 jam bagi memberi perkhidmatan yang berbaik kepada pengguna dan pengedar.

Kejayaan demi kejayaan tercipta apabila produk HPM terutama Jus Mate 5 mula memberi ganjaran kepada pengguna. Konsep guna baru jual yang dipratikkan oleh Dr Rozmey membuahkan hasil apabila ribuan testimoni pengguna tampil untuk memberi pengakuan.

Tsunami baru melanda perniagaan HPM apabila medium media cetak yang digunakan oleh Dr Rozmey untuk mencanangkan kejayaan testimoni mendapat maklum balas di luar jangkaan sehingga memaksanya untuk meningkatkan perkhidmatannya termasuk memperkenalkan system belian online.

Selepas empat tahun beroperasi, warga HPM patut berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sehingga syarikat dipelopori oleh usahawan bumiputra ini mampu berdiri sama gagah dengan syarikat lain di Negara ini.

Perjenamaan baru dR Rozmey selaras dengan perkembangan HPM membawa kepada perkembangan cabang perniagaan baru seperti dR Rozmey Skin Care, dR Rozmey Beauty Slimming Fitness Centre (RBSFC), dR Rozmey Body Shop, dR Rozmey Fashion, dR Rozmey Sport Wear dan dR Movie Production.

Kisah Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary



Biodata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Umur : 53 tahun
Pendidikan : SPM
Mula berniaga : 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan : RM1,425 juta
Ranking : Ke 7 terkaya di Malaysia Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Antara syarikat miliknya :

MMC,
Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS,
Gardenia,
DRB-HICOM dan
Bank Muammalat
Kereta : Proton Perdana

Sumbangan sosial:


Yayasan Al-Bukhary,
Institusi pengajian untuk 3,000 pelajar,
Muzium Kesenian Islam,
Kompleks Al-Bukhary,
Menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu,
Pengindahan Masjid Negara,
Sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan
Menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan
haji.
Masjid di Lapangan Terbang Senai,Johor

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula.

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan.

Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau
untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah
pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

Mutiara kata…..

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain.

Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.

Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

Friday, February 3, 2012

Portal lot.my bantu usahawan


KEBANYAKAN orang mungkin pernah memasang impian menjadi usahawan berjaya sehingga mampu menjana keuntungan besar.

Pelbagai angan-angan bermain di fikiran seperti memikirkan jenama, produk yang ingin dipasarkan dan platform terbaik untuk memasarkan barangan.

Bagaimanapun, apabila memikirkan modal yang besar perlu diperuntukkan sebelum dapat menubuhkan sesuatu cabang perniagaan, ramai mengangkat bendera putih.

Menyedari potensi sektor perniagaan, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada Mohd. Akmal Akhpah, Shahabudeen Jalil, Mohd. Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd. Alif Nordin telah membangunkan portal lot.my dalam memberi platform kepada bakal-bakal usahawan tanpa memerlukan modal besar.

Salah seorang yang membangunkan portal berkenaan, Shahabudeen, 29, berkata, lot.my telah ditubuhkan pada tahun 2010 untuk memberi peluang kepada usahawan membuka perniagaan melalui medium dalam talian.

Dia memberitahu, tujuan utama pembikinan portal berkenaan adalah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam talian bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita mendapati terdapat beberapa faktor yang menjadi batu penghalang utama sehingga membantutkan hasrat bakal usahawan ini untuk memulakan perniagaan dalam talian.

“Antaranya ialah kos pembikinan laman web e-dagang yang agak tinggi, tidak mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan saluran pemasaran tidak berkesan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Shahabudeen menjelaskan, ia juga diharap dapat mengubah paradigma masyarakat terhadap perniagaan melalui internet apabila terdapat persepsi yang mengaitkan bidang perniagaan dalam talian sebagai bidang berisiko tinggi.

Katanya, lot.my ingin mengubah persepsi tersebut dengan memaparkan perniagaan dalam talian sebagai satu bidang yang patut diceburi oleh semua pihak, termasuklah usahawan-usahawan yang baru menceburkan diri dalam perniagaan.

“Teknologi yang sedia ada membolehkan perniagaan dalam talian dijalankan dengan mudah dan dapat dilakukan secara separuh masa, malah di mana-mana sahaja mereka berada.

“Ia amat sesuai apatah lagi apabila masyarakat hari ini yang sentiasa berdepan kekangan masa,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teknologi

Dalam pada itu, M. Alif Nordin, 29 menjelaskan, sistem lot.my dibina dengan harapan untuk membolehkan bakal usahawan mendedahkan diri kepada dunia perniagaan dalam talian secara sistematik dan kos efektif.

“Ia adalah satu aplikasi membolehkan para usahawan membuka kedai dalam talian lengkap dengan mudah dan berkesan.

“Bahkan, pengguna yang tidak mempunyai kemahiran IT boleh mengendalikannya dengan mudah. Mereka boleh memulakan kedai dalam talian dengan mendaftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk,” katanya lagi.

Efektif

Graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, pengguna tidak perlu memikirkan tentang pembelian domain, konfigurasi server, muat turun perisian atau apa jua keperluan kompleks lain untuk menggunakan lot.my.

Katanya lagi, ia berasaskan web dan pendaftaran boleh dibuat dalam masa lima minit sahaja. Pengguna tidak perlu risau tentang kos kerana ia sangat berpatutan.

Dalam pada itu, usahawan mempunyai kebebasan menukar paparan kedai dalam talian mereka dengan mudah.

Setiap modul juga boleh disembunyikan atau dipaparkan mengikut cita rasa pemilik kedai untuk menarik perhatian pelanggan.

Bagi mereka yang inginkan kelainan terdapat beratus-ratus latar belakang disediakan menanti usahawan. Ia boleh disuai padankan dengan tema kedai dan produk. Usahawan juga boleh memasukkan logo atau banner sendiri.

Sementara itu, Khairul Anwar M. Zaki, 29, memberitahu, lot.my menawarkan sistem e-dagang lengkap yang merangkumi fungsi-fungsi utama perniagaan seperti sistem katalog, pemasaran, inventori, bayaran, dokumentasi dan perhubungan pelanggan.

“Mereka boleh membuat analisis dengan melihat pelbagai statistik apabila menggunakan portal ini. Ia termasuk kehadiran harian pelawat, populariti produk, dan rekod jualan.

“Ia juga memudahkan usahawan terutama yang baru berjinak menceburi bidang ini untuk membina perniagaan secara efektif dan efisien melalui sistem pengurusan jualan teratur serta berkesan,” katanya.

Menyentuh mengenai keselamatan, Khairul Anwar memberitahu, setiap pemilik kedai akan mempunyai ruang operasi sendiri.

Katanya, hanya pemilik kedai yang boleh mengakses ruang operasi kedai mereka sendiri.

“Lot.my dibantu oleh sistem sekuriti yang tinggi dan sistem pembayaran selamat untuk memastikan keselesaan usahawan serta pelanggan mereka dalam menjalankan urus niaga.

“Kami turut menyediakan khidmat bantuan sokongan dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah dihadapi melalui tanya@lot.my,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Shahabudeen menambah, terdapat kira-kira 10,000 pengguna yang menggunakan portal berkenaan secara percuma semasa ia mula dilancarkan dua tahun lalu.

Sasaran

Katanya, pengguna yang membayar menggunakan lot.com pula adalah sebanyak 250 orang.

“Kita berharap ia dapat dipertingkatkan pada tahun ini sehingga 1,000 pengguna dengan pengenalan akaun premium.

“Akaun premium telah diperkenalkan pada tahun lalu bagi mereka yang serius dalam bidang perniagaan dengan mengenakan bayaran RM39.90 untuk satu bulan atau RM399.90 satu tahun,” katanya.

Dia memberitahu, lot.my turut memperkenalkan pakej baharu iaitu belajar sampai pandai.

Katanya, pakej tersebut akan menumpukan pembelajaran bersama usahawan dan wakil lot.my secara one on one selama enam bulan.

“Dalam pakej ini, kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM600 sahaja kepada bakal usahawan.

“Bengkel juga akan diadakan pada 3 Februari ini di Ampang Point, Kuala Lumpur.

Kredit - http://www.kosmo.com.my/

Wednesday, February 1, 2012

Kisah Kejayaan Yusuf Taiyoob Raja Kurma



“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.

Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.

“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika
Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.

Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.

Tuesday, January 31, 2012

Kisah Kejayaan Labanon aka Adly Mukhtar Flarebiz


FACEBOOK, blog, muat turun lagu, memasuki “chat rooms” di Internet memang menjadi kegemaran remaja ini, tiada bezanya dengan anak muda lain.

Adly Mukhtar banyak mencuri masa daripada setiap kesempatan yang ada untuk ke kafe siber, melayari Internet kerana di rumahnya tiada kemudahan itu.

Tapi boraknya di Internet bukan bualan kosong. Adly seronok meneroka dunia. Beliau mencari sesuatu yang bermakna setelah menyedari minatnya melayari Internet boleh membawa keuntungan pada dirinya.

Adly terpikat membaca kejayaan Irfan Khairi, pakar perniagaan Internet yang menjadi jutawan pada usia 25 tahun.

Irfan pernah dipetik sebagai berkata “cara paling mudah untuk berjaya di Internet ialah dengan mengikut jejak langkah mereka yang berjaya”.

Itu jugalah yang diikuti Adly, “Saya terfikir, kalau dia boleh berjaya kenapa saya tidak?” kata Adly memulakan bicara.

BERMULA DENGAN RM300


Adly mula menjana pendapatan di Internet pada usia 16 tahun, ketika masih di tingkatan 4 lagi. Setahun selepas itu, beliau melancarkan produk digital yang diberi nama “101 Tip Adsense Terbongkar” dan menjana pendapatan RM10,000.

Produk itu berupa e-buku bagi usahawan Internet yang berharga RM20 satu. Ia menerangkan 101 teknik bagaimana untuk memaksimum atau menggandakan pendapatan Google Adsense.

“Saya pinjam duit kawan sebanyak RM300 untuk memulakan projek ini,” kata Adly.

Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan komputer, namum nekad berhenti untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan Internet yang dijalankan dan berjanji pada dirinya untuk terus menimba ilmu bagi kemajuan diri dan masa depannya.

Pada ketika itu, beliau sudah memiliki komputer sendiri yang dibelikan ibunya untuk pengajian di universiti.

Bersama seorang rakan kampung di Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zhafran Mohd Ghani, beliau menubuhkan syarikat penyelesaian Internet Flarebiz Network dua tahun lepas.

Mohd Zhafran yang meminati apa saja berkaitan dengan reka bentuk dan pembinaan laman web, menjana pendapatan di Internet dengan membuat servis reka bentuk laman web mini atau mini sites dan e-cover di pasaran domestik dan luar negeri.

TARIK MINAT USAHAWAN

Model perniagaan Flarebiz Network lebih kepada perkhidmatan dan penghasilan produk digital seperti e-book dan servis khas untuk usahawan yang mahu memperbaiki perniagaan mereka menggunakan kuasa Internet.

Bagi tujuan meluaskan jaringan rakan dari kalangan mereka yang berminat berniaga menerusi Internet, mengumpulkan pakar dan sebagainya, Flarebiz Network mengasaskan e-majalah atau Majalah Internet Malaysia untuk mempromosi pemasaran Internet.

Mereka mahu menyedarkan pengguna tentang potensi untuk menjana wang di Internet dengan berusaha menyatukan semua usahawan pemasaran Internet tempatan menulis artikel mengenai bidang perniagaan ini.

E-majalah yang boleh dimuat turun secara percuma itu diperkenal dengan tujuan mendidik pengguna Internet mengenai potensi Internet sebagai medium atau media baru untuk menjana pendapatan.

Adly berkata majalah itu mengandungi artikel-artikel menarik, termasuk ilustrasi kartun yang mendidik pembaca dengan cara dan teknik yang betul untuk menjadikan Internet sebagai sumber pendapatan tanpa melibatkan perkara seperti sistem MLM atau pemasaran multi peringkat, sistem piramid, skim pelaburan Internet, HYIP atau program keuntungan tinggi, sistem derma duit dan tukaran wang asing secara online.

Setakat ini IM dimuat turun oleh kira-kira 20,000 orang.

KE KUALA LUMPUR


Anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat sokongan ibu bapanya walaupun berhenti belajar dalam usia muda tetapi mereka tahu anak mereka mempunyai kecenderungan yang bukan sia-sia.

Bapanya seorang ustaz lulusan Universiti Al-Azhar meninggal dunia tahun lepas, tetapi sempat melihat kejayaan Adly melalui bidang yang diceburinya.

Walaupun bisnes Internet boleh berpangkalan di mana-mana, keadaan sekeliling memaksa Adly membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka pejabat Flarebiz Network yang kini mempunyai enam lagi petugas terdiri daripada anak-anak muda berusia dalam lingkungan 20-an.

Selepas IM berjaya menarik perhatian ramai usahawan, Adly dan rakan kongsinya mahu mencipta sesuatu yang signifikan terutama dalam Bahasa Melayu untuk manfaat usahawan tempatan membawa perniagaan mereka maju setapak lagi.

Mereka bangunkan sistem kedai online – Niagakit – yang dicipta setelah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan perisian shopping cart antarabangsa yang tidak sesuai dengan keperluan urus niaga tempatan.

“Kami guna Bahasa Melayu untuk kemudahan peniaga kecil dan peniaga konvensional dengan mengajak mereka daripada berniaga offline kepada online,” katanya.

Niagakit, menurutnya, memudahkan usahawan menggunakan medium yang mereka selesa, tidak rumit dan memenuhi keperluan asas mereka.

Adly berbangga kerana kini ramai yang berjaya memanfaatkan sistem yang diperkenal beliau kerana masalah biasa yang dihadapi kebanyakan mereka ialah tidak tahu membina laman web dan kurang mahir dengan perkara teknikal untuk menjual produk di Internet .

PRODUK MALAYSIA

“Niagakit merupakan sistem kedai online khas untuk rakyat Malaysia,” dan menurut Adly, beliau dan rakan kongsinya faham apa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk menjual produk secara online.

“Dalam dunia perniagaan Internet kini anda memerlukan sebuah sistem kedai online yang benar-benar mantap dan menyediakan pelbagai fungsi menarik yang akan memudahkan kerja seseorang.

“Seseorang itu boleh melakukan semuanya sendiri bermula dengan menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah, dan tanpa perlu membazir wang dan masa untuk sistem memilih kedai online yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan,” katanya.

Sistem ini ditawarkan pada harga RM1,000 tetapi Adly dan rakan kongsi turut menganjurkan bengkel atau seminar mini, mengajar secara mendalam selok belok sistem ini dan perniagaan Internet. Caj yang dikenakan untuk bengkel separuh hari hanya RM10.

“Baru-baru ini semasa saya mengadakan seminar di Johor Bahru, orang Singapura pun turut hadir,” katanya bangga.

LAMAN WEB MINI

Flarebiz Network juga mencipta laman web mini, khas untuk menjual produk fizikal atau digital.

Untuk mempromosi produk mereka, Flarebiz Network mengadakan bengkel membina laman web mini yang memberikan panduan kepada peserta bagaimana untuk membina web mini dalam masa yang singkat tanpa perlu mengetahui perkara teknikal, yang sukar.

Biasa yang hadir ialah usahawan muda dan usahawan wanita yang mahu bekerja dari rumah, menjual tudung, pakaian, barang antik dan sebagainya.

Kebanyakan yang menggunakan sistem kedai online ini, menurut Adly ialah golongan berusia 25-40 tahun.

“Kebanyakan mereka bermula dengan bisnes konvensional. Kami ada pangkalan peminat dan yang berjaya akan berkongsi cerita di facebook, dari situ kaki turut memantau perkembangan perniagaan mereka.

“Saya sendiri belajar dan mendapatkan informasi (selain buku) daripada rakan pakar-pakar bisnes ini melalui jaringan Internet juga, berkongsi pengalaman, menggunakan konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya,” katanya.

Kini menurut Adly, Flarebiz Network menjana pendapatan dalam lingkungan lima angka setiap bulan dan beliau mengambil gaji sebanyak RM5,000 sebulan.

CABARAN YANG DIHADAPI

Dalam setiap perniagaan sudah tentu ada jatuh bangunnya. Bagi Adly pengalaman pahit beliau ialah, bila pelaburannya mula-mula datang ke Kuala Lumpur membeli mesin mencetak t-shirt berharga RM10,000 daripada seorang kawan, terbengkalai begitu saja.

“Ketika itu saya anggap dunia perniagaan ini kejam, tapi dari situ saya belajar daripada kesilapan.

“Saya bangkit semula atas sokongan rakan-rakan dan pakar, seperti seorang usahawan IT di Kelantan. Kebanyakan mereka saya kenali melalui jaringan di Internet,” katanya.

Adly sedar dalan perniagaan Internet dan perkembangan di dalam Internet itu sendiri membuatkan dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dibangunkan.

Adly juga percaya budaya membeli-belah secara online yang menjadi trend di banyak negara akan menjadi amalan di negara ini suatu hari nanti.

Maka itu beliau agresif menjaja Niagakit, mengadakan seminar mengenai penggunaannya dan memberi penerangan kepada usahawan lain.

Beliau memegang kata-kata pengasas Microsoft dan hartawan Bill Gates: “Dalam abad 21 ini kalau bisnes tiada dalam online, ia bukan bisnes.”-

credit to BERNAMA

Kisah Kejayaan Khairul Nizam Mukhtar – Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Internet Selangor Berhad

Khairul Nizam Mukhtar, 33, juga dikenali sebagai Nizzura, menuntut di 11 sekolah kerana mengikut bapanya, Datuk Mukhtar Ismail, yang sering berpindah-randah demi tuntutan tugas sebagai polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu boleh dikatakan seorang yang nakal tetapi bijak kerana sentiasa mendapat nombor teratas dalam kelas.

Walaupun dididik dengan disiplin sejak kecil, Nizam dan adik beradiknya masih diberi ruang kebebasan oleh ibu bapa, asalkan tidak melampaui batas.

“Saya boleh bergaul dengan sesiapa saja dan boleh keluar malam tetapi tidak dibenarkan tidur di rumah kawan. Pernah sekali, ketika menuntut di MRSM Pangkalan Chepa, ketika saya memanjat pagar sekolah, bapa yang berkereta terlihat perbuatan saya tetapi mendiamkan saja,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Pendidikan Internet Selangor Berhad ini berkata, sejak bersekolah dia bercita-cita menjadi juruterbang tetapi cita-cita itu terpaksa dikuburkan kerana keputusan subjek Fizik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang baik.

Selepas SPM dia menyambung pelajaran ke peringkat A Level di Kolej Mara Banting sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).

Namun disebabkan kegawatan ekonomi, hasrat itu terpaksa dilupakan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghantarnya menyambung pengajian ke Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Nizam antara kumpulan pertama yang belajar di universiti itu. Walaupun kecewa tidak dapat menyambung pengajian ke UK, Nizam tetap meneruskan kursus perakaunan sehingga peringkat ijazah.

Tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, Nizam tidak bekerja dalam bidang perakaunan, sebaliknya ingin berniaga walaupun tiada pengalaman.

Untuk dua tahun pertama, anak muda ini merasai sepak terajang dalam dunia perniagaan. Antara perniagaan diceburi ialah pembinaan, memasang kamera litar tersembunyi dan menghasilkan filem dalam bentuk cakera padat video berjudul ‘Cinta Betting’.

Projek terbesar dijalankan Nizam ialah pembinaan di Jalan Petaling, tetapi mengalami kerugian apabila kontraktor utama tidak menjelaskan bayaran hingga syarikatnya kerugian RM170,000.

Selepas kegagalan itu Nizam yang fobia tidak melakukan sebarang pekerjaan. Selama tiga tahun, kehidupannya ditanggung isteri, Azura Abdul Aziz.

“Disebabkan tidak bekerja, kawan semakin menjauh, saudara mara pun tak layan. Lebih-lebih lagi, apabila anak Datuk gagal, orang akan kutuk. Selama menganggur, saya cuma duduk di rumah bermain permainan komputer dan menjaga anak sulung.

“Puas saya mencari kerja tetapi tidak dapat kerana keputusan perakaunan saya cuma cukup untuk mendapat ijazah.

“Saya pernah buka gerai makan iaitu dengan mengambil alih perniagaan pengusaha bukan Bumiputera, tetapi tidak sampai tiga bulan gerai itu terpaksa ditutup. Rupa-rupanya tempat itu akan ditutup oleh pemilik sebenar. Akhirnya saya gagal dan rugi lagi,” katanya.

Pada 2006, isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di kolej swasta mendapat tawaran kerja selama dua tahun sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Jakarta, Indonesia.

“Apabila isteri bertanya sama ada saya mahu pergi ke Indonesia, saya bersetuju. Mana tahu, masa depan saya cerah di sana. Di Indonesia, saya berniaga kecil-kecilan iaitu menguruskan penghantaran amah untuk saudara-mara.

“Tugas itu sukar dan membabitkan banyak pihak. Saya perlu keluar masuk kampung, bertemu ketua kampung, ibu bapa bakal amah, bakal amal itu sendiri manakala gangster kampung pula perlu disuap.

“Kebanyakan agen tidak yakin dengan Malaysia. Pening berurusan dengan manusia iaitu daripada amah, ibu bapa mereka, ketua kampung, imigresen Indonesia dan majikan. Walaupun lumayan, tetapi apabila amah lari, memang tidak berbaloi,” katanya.

Menurutnya, ketika menjalankan perniagaan itu, dia terdedah dengan dunia perniagaan Internet.

“Saya menghantar e-mel spam menawarkan khidmat menyediakan amah. Walaupun itu bukan cara yang betul, saya mendapat banyak pengetahuan mengenai perniagaan Internet,” katanya.

Pada 2007, berlaku banjir besar di Jakarta yang menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh keluar dari rumah selama seminggu.

“Waktu itu Jakarta lumpuh dengan banjir paras pinggang. Kenderaan tidak boleh melalui jalan raya manakala kami tiada wang kerana mesin juruwang automatik tidak berfungsi.

“Selain saya sekeluarga, ada empat amah di rumah. Harga air minuman untuk satu gelen naik 50,000 rupiah (RM20) berbanding 9,000 rupiah (RM4) sebelum banjir.

“Kami terpaksa mencatu air minum dan bekalan susu anak kehabisan. Ketika itu anak kedua baru lahir.
Selain itu, kebetulan bahan mentah untuk memasak juga kehabisan dan tidak sempat membeli kerana banjir.

“Peristiwa itu menyebabkan isteri tidak mahu menyambung kontrak pekerjaannya. Kami sekeluarga membuat keputusan kembali ke Malaysia,” katanya.

Pulang ke tanah air, Nizam gelabah kerana tiada pekerjaan, sedangkan dia sekeluarga menjalani kehidupan selesa di negara orang.

Pada Ogos 2007, dia terjumpa iklan mengenai seminar perniagaan Internet dikendalikan warga Singapura, Ewen Chia, iaitu orang nombor satu di dunia dalam perniagaan Internet.

“Saya berminat menyertai seminar itu, tetapi tiada wang. Hendak minta dengan isteri, wang ada cukup-cukup saja untuk menyara keluarga. Hendak pinjam dengan keluarga atau kawan, agak sukar.

“Akhirnya, seorang rakan sedia membantu membayar yuran penyertaan berharga RM3,000 menggunakan kad kreditnya,” katanya.

Akhir Ogos, Nizam mendapat wang pertama hasil perniagaan menerusi Internet berjumlah AS$54 dari Kanada. Berikutan itu, minatnya dalam perniagaan Internet bertambah kerana menyedari ia boleh mendapatkan keuntungan. Selepas mendapat AS$1,000, dia menanam tekad untuk menimba lebih banyak ilmu daripada Ewen.

Jalan terbuka luas apabila Nizam menerima e-mel daripada Ewen yang memerlukan pekerja untuk syarikatnya.

“Saya membuat permohonan dan diterima bekerja dengan idola saya. Pada Januari 2008, saya bekerja dengan Ewen dan mencungkil rahsia kejayaannya dalam dunia perniagaan Internet. Dia suka sesuatu yang ringkas dan itu yang menjadi rahsia kejayaannya.

“Selama ini orang fikir, jika ingin menjalankan perniagaan Internet, perlukan laman web yang canggih. Sebenarnya, ia boleh dilakukan dengan mudah dan ringkas,” katanya.

Ketika ‘menuntut ilmu’ dengan Ewen, Nizam menetap di Johor Bahru dan berjimat cermat mengeluarkan belanja kerana barangan di Singapura mahal disebabkan tukaran matanya yang tinggi.

“Setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah malam, saya berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura. Antara tugas saya ialah mengendalikan seminar,” katanya.

Apabila puas mempelajari ilmu perniagaan daripada ikon usahawan Internet itu, dia bercadang berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri.

“Walaupun gaji diterima agak lumayan iaitu RM10,000 sebulan, saya nekad berhenti pada Disember 2007. Orang yang paling marah ialah bapa saya.

“Saya rahsiakan tindakan saya berhenti kerja sehingga Februari 2008, tetapi dia musykil kerana saya sering ada di Kuala Lumpur dan saya terpaksa memberitahunya saya sudah berhenti kerja dan kini menjalankan perniagaan Internet dari rumah,” katanya.

Tidak sampai sebulan menjalankan perniagaan, Nizam membuktikan dia mampu berdiri sendiri apabila berjaya memperoleh RM10,000. Semangatnya untuk serius dalam perniagaan itu semakin membara.

“Saya tak boleh buat kerja di rumah kerana setiap kali buka komputer riba, anak berkerumun. Oleh itu saya mengambil keputusan menyewa pejabat dan membuka Pusat Latihan Nizzura untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain.

“Kemudian saya dapat idea menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet,” katanya.

Jutawan Internet Berusia 16 Tahun – Christian Owens


NORTHAMPTON – Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).

Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.

Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.

Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs. –

Kisah Kejayaan Ainon Mohd – Pengerusi Kumpulan PTS, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd


“PALING penting, buku Melayu mesti menyebabkan orang Melayu bangga memegangnya. Buku menjadi aksesori, mesti cantik dan mesti mahal. Dulu orang malu hendak kepit buku Bahasa Melayu dalam bas atau kapal terbang, tetapi keadaan berubah apabila buku Bahasa Melayu semakin menarik dan berkualiti,” kata Pengerusi Kumpulan PTS (PTS), Ainon Mohd, 60, selepas me nyedari kelemahan buku Melayu dan berusaha mengatasinya.

Kecintaannya pada Bahasa Melayu dan perjuangannya memartabatkan bahasa kebangsaan menyebabkan pakar Bahasa Melayu itu melepaskan jawatan di DBP selepas 14 tahun berkhidmat bagi membangunkan syarikat penerbitan sendiri, kira-kira 10 tahun lalu.

Bermodalkan RM100,000, Ainon dan dua saudara kandung, Ariffin, 58, dan Abdul Aziz, 63, membangunkan syarikat penerbitan, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. Pada awal penubuhan syarikat, beliau hanya menerbitkan bukunya sendiri sebelum menerbitkan karya orang lain.

“Dulu buku dalam Bahasa Melayu tidak cantik, menyebab kan kurang minat pembaca memilikinya. Waktu itu, orang tidak percaya buku Bahasa Melayu boleh diketengahkan.

“Kalau lihat di kedai buku elit dan yang dimiliki bukan Bumiputera, sukar mencari buku Bahasa Melayu kerana mereka lebih suka menjual buku Bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, perkemba ngan sekarang membanggakan. Buku Bahasa Melayu duduk di depan kedai. Jualan buku Bahasa Melayu menyumbang perolehan besar kepada kedai buku.

“Mengapa dulu buku Bahasa Melayu tak masuk kedai buku? Sebab buku Bahasa Melayu tak cantik. Kedai buku hendak buku yang cantik untuk dijual. Penerbit Melayu tidak perlu takut bayar untuk mendapatkan pelukis berbakat yang melakar ilustrasi cantik dalam buku dihasilkan,” katanya.

Ainon berkata, orang Melayu mempunyai wang untuk membeli buku yang mahal harganya dan ia dibeli keluarga berpendidikan yang mahu menggalakkan anak membaca.

“Saya cuba memenuhi dan mengenal pasti kehendak pembaca. Misalnya, untuk budak lelaki, kami mengeluarkan komik yang ada maklumat dan motivasi selain buku sejarah dan fiksyen menarik.

“Kanak-kanak lelaki yang membaca komik, lama kelamaan akan memegang teks. Ini adalah kebiasaan kerana ia membantu memupuk minat membaca,” katanya.

PTS menerbitkan 3,000 karya dalam masa enam bulan. Kemudian penerbit buku Bahasa Melayu itu semakin rancak dengan menerbitkan antara 6,000 hingga 8,000 buku dalam tempoh dua bulan, dan enam bulan selepas itu buku berkenaan diulang cetak.

Menurut Ainon, syarikatnya mengamalkan perniagaan yang bersih daripada rasuah dan riba, manakala semua kemudahan perbankan diperoleh daripada perbankan Islam.

“Semua produk dihasilkan juga mematuhi syariah iaitu dalam novel cinta tiada babak berpegang tangan atau pasangan kekasih mengadakan temu janji. Malah, kisah dua lelaki berebut seorang wanita atau sebalik nya juga tidak ada dalam buku diterbitkan PTS.

“Apabila berniaga cara yang bersih, Allah akan tolong. PTS tidak pernah mendapat bantuan kerajaan tetapi didukung dua bank milik bukan Bumiputera. Peniaga lain perlu ada keyakinan kita orang Melayu boleh berniaga dengan bangsa lain.

“Ini kerana, PTS berurusniaga dengan pembekal, bank, pencetak dan kedai buku milik orang Cina. Pelanggan terbesar buku keluaran PTS juga syarikat Cina iaitu Popular dan MPH.

“Tanggapan orang Cina tidak menolong usahawan Melayu harus dikikis kerana ia tidak benar. PTS mencetak buku bernilai beratus ribu ringgit dan yang memberi kredit tanpa cagaran ialah bank Cina,” katanya.
Menurutnya, orang Cina sang gup memberi kredit kepadanya kerana PTS tidak mempunyai rekod lari daripada hutang.

“Orang berniaga tidak harus lari daripada hutang. Jika tidak menjelaskan hutang, pembekal tidak berani membekalkan barangan kepada kita. Siapa hendak bekalkan barangan kalau tidak bayar.

“Satu prinsip yang saya amalkan ialah dahulukan pembayaran hutang. Biar berlapar tetapi hutang mesti dibayar. Ini bagi menjaga kepercayaan pembekal dan penulis buku,” katanya.

PTS sentiasa berhutang RM3 juta kepada pencetak yang memberi tempoh kemudahan kredit tiga bulan manakala PTS pula memberi kemudahan kredit kepada kedai buku selama tiga bulan. Di samping itu, syarikat itu mengagihkan RM1.9 juta bayaran royalti kepada penulis.

“PTS mempunyai pasukan bagus sebagai pengutip hutang dan pengarang. Alhamdulillah dengan bantuan Allah, kami membayar zakat setiap bulan daripada kutipan hutang kedai buku sebelum membayar gaji pekerja,” katanya.

Ainon berkata, mendukung semangat 1 Malaysia, pegawai tinggi PTS juga menjadi penerbit buku Cina yang lebih berjaya sebagai mentor.

Penerbit buku Cina tidak lokek memberi nasihat mengenai pembelian kertas bagi membolehkan kos menghasilkan buku lebih murah.

Sebagai penerbit buku Melayu paling aktif di pasaran iaitu menghasilkan 40 judul buku sebulan, PTS mensasarkan menerbitkan 1,000 buku setahun.

Lebih membanggakan, PTS turut mengeksport judul buku-nya ke Indonesia. Sebanyak 100 judul buku kanak-kanak, sastera berat, perniagaan dan motivasi disunting dengan di alih ke dalam Bahasa Indonesia, manakala muka depan buku dihasilkan semula.

Syarikat itu mempunyai lebih 100 pekerja dengan 70 daripadanya di bahagian editorial.

“Saya melatih penulis sendiri menggunakan Bahasa Melayu tinggi dan bahasa yang diang gap ‘skema’. Malah, komik pun menggunakan bahasa tinggi. PTS menjaga Bahasa Melayu seperti DBP menjaganya.

“Mereka yang membaca buku keluaran PTS dapat menguasai tatabahasa dan ejaan betul kerana tujuan kita memang mahu menjadikan buku PTS sebagai alat bantu mengajar Bahasa Melayu dan memudahkan guru,” katanya.

Beliau berkata, jika remaja kurang minat membaca buku agama, tetapi buku agama keluaran PTS sangat laris di pasaran.

Cerita hadis dan al-Quran ditulis semula, dicetak dengan cantik dengan muka depan buku yang ranggi menyebabkan remaja tertarik untuk membaca dan berkongsi maklumat daripada pembacaan dengan rakan sebaya

Kisah Kejayaan Mohd Ghani Hitam – Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MGH Synergy Sdn Bhd


“DI MANA ada usaha, di situ ada kejayaan.” Perumpamaan itu tepat menggambarkan kegigihan Mohd Ghani Hitam, 49, merintis masa depan lebih cerah untuk diri dan keluarga.

Jika orang lain mungkin berhenti sekerat jalan, namun semangat Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MGH Synergy Sdn Bhd itu untuk menyelesaikan pengajiannya tidak pernah pudar.

Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk meraih Diploma Pentadbiran Awam menerusi program jarak jauh Institut Teknologi Mara (ITM – kini UiTM). Untuk menambah pendapatan keluarga, Ghani menjual pelbagai hasil pertanian dan makanan di pasar malam.

“Apa saja yang boleh menampung keluarga, saya lakukan asalkan jadi duit, halal dan tidak menganiaya orang lain. Saya ketepikan rasa malu, letih dan jemu demi memastikan kehidupan keluarga terjamin,” katanya.

Dia kemudian berhenti kerja untuk menyambung pengajian sepenuh masa selama empat tahun di peringkat ijazah dalam jurusan perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam tempoh itu bermacam pengalaman dilalui. Tanpa pekerjaan selepas bergelar penuntut sepenuh masa, kehidupannya sekeluarga agak sukar.

“Tahun pertama menuntut di UKM, saya tinggalkan isteri dan anak di Kuala Terengganu. Saya menaiki apa saja kenderaan yang sanggup menumpangkan saya untuk pulang, termasuk lori surat khabar,” katanya.

Letih berulang alik dari Bangi ke Kuala Terengganu, dia mengambil keputusan membawa anak dan isteri tinggal bersama dengan menyewa di perumahan kos rendah di Sungai Merab Luar, Kajang.

“Isteri yang sebelum ini tidak bekerja, mengambil alih tugas menyara keluarga dengan bekerja sebagai operator kantin kilang. Daripada tidak tahu menunggang motosikal dan memandu kereta, dia mengambil lesen dan menghantar saya ke kolej sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Berkat ketekunan dan kesabaran, kehidupan kami mula berubah,” katanya.

Ghani orang yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan daya maju syarikat mengikut bidang dan perniagaan teras masing-masing. Antara perniagaan teras syarikat bernaung di bawah MGH Synergy adalah sebagai kontraktor dalam bidang sivil dan elektrikal, pembangunan perisian dan teknologi kreatif, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan dan minuman serta minyak dan gas.

Menjadi kebanggaan syarikat apabila mempunyai sekumpulan tenaga kerja muda yang dedikasi dan kreatif sebagai pengarah urusan beberapa syarikat di bawah MGH Synergy.

Anak sulung, Afif, 26, dan anak kedua, Akram, 24, masing-masing Pengarah Urusan Dynamic 3D Sdn Bhd (D3D Group) dan Ara Kiana Sdn Bhd, yang membangunkan sistem perisian membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD (Computer Added Design) serta memajukan beberapa perisian meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan dan agensinya.

“Saya sering berpesan kepada anak dan semua pekerja supaya sentiasa menyiapkan diri dengan segala keperluan, termasuk ilmu pengetahuan. Mereka perlu sentiasa peka dan kreatif dengan arus perubahan dan kehendak pasaran supaya sentiasa berdaya saing di dalam dunia perniagaan,” katanya.

Sesuatu yang boleh dibanggakan adalah kemampuan syarikat Dynamic 3D Sdn Bhd diterajui Mohd Afif membangunkan perisian CADMARK untuk keperluan semasa.

Sistem perisian itu membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD, iaitu yang pertama di pasaran domestik juga Asia. Afif turut bertanggungjawab memajukan beberapa perisian lain untuk meningkatkan sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan dan agensinya.

“Sebelum ini tidak ada perisian yang membantu pensyarah menanda kertas peperiksaan. Sistem penandaan kertas peperiksaan ini bakal digunakan secara meluas di Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian

Sumber Manusia melalui universiti berteraskan teknikal, kolej kejuruteraan dan institut latihan perindustrian,” katanya yang turut memantau kumpulan jurutera perisian membangunkan sistem itu sejak tiga tahun lalu
.
Atas dorongan dan bimbingan yang tidak putus-putus, Mohd Akram menerajui syarikat terbabit dalam bidang perniagaan teknologi komunikasi maklumat.

Ara Kiana Sdn Bhd berhasrat muncul sebagai syarikat peneraju dalam perniagaan ICT di Malaysia satu masa nanti.

“Saya yakin, dengan semangat dan dedikasi anak muda yang ada dalam Ara Kiana, cita-cita murni ini boleh dicapai,” katanya.

Selepas meraih ijazah sarjana muda, bapa tujuh anak lelaki itu kemudian menyambung pengajian ke peringkat sarjana selama tiga tahun, memberinya sedikit kelebihan untuk berkhidmat di beberapa syarikat, termasuk syarikat automotif, pembinaan kapal hinggalah kepada syarikat yang terbabit dalam bidang pengerukan dan penambakan (dredging & reclaimation) dan kejuruteraan marin.

Melalui tempoh kegawatan ekonomi pada sekitar 1997 memberikan Ghani pengalaman berguna yang tidak dipelajarinya ketika menuntut di universiti.

Satu pengajaran penting yang diingat hingga kini adalah beberapa sektor yang sangat rapuh dan terheret dengan cepat apabila berlaku kegawatan.

Ghani mula menyiapkan diri, menimba sebanyak mungkin ilmu dan memberi sepenuh sokongan kepada isteri tercinta untuk mengembangkan perniagaan yang berasaskan makanan dan minuman. Bidang ini kurang terjejas dan tidak memberi kesan teruk apabila ekonomi tidak memberangsangkan.

“Perniagaan menjual makanan dan minuman ini sebati dengan jiwa isteri saya kerana kebetulan hobinya memasak untuk tujuh anak lelaki kami,” katanya.

Mengimbau masa lalu, Ghani berkata, beliau sentiasa optimis memandang masa depan walaupun kadangkala terpaksa berdepan dugaan dan cabaran.

Daripada bergelar kakitangan kerajaan, kemudian berhenti kerja untuk menyambung pelajaran sambil bekerja sambilan menampung kehidupan keluarga. Pengalaman itu banyak mencorak kehidupan beliau supaya menjadi lebih tabah dalam menempuh kehidupan mendatang.

“Dua cabaran masa lalu adalah membina kehidupan dan juga mendidik anak. Keadaan ketika itu sungguh kritikal dan mencabar. Isteri banyak memainkan peranan mendidik anak kerana saya sibuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya bernasib baik kerana walaupun tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka kerana tuntutan belajar, Alhamdulillah anak saya berjaya,” katanya.

Satu prinsip yang dipegang beliau sampai sekarang adalah, jika melakukan sesuatu perkara, ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

“Dalam hidup ini, sebenarnya semua orang mempunyai peluang sama untuk berjaya. Tiada halangan sebenarnya jika setiap orang diberi peluang untuk berusaha hingga berjaya. Walaupun kita bekerja dengan orang, anggaplah itu sebagai kerja kita sendiri yang perlu kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Kisah Kejayaan Erni Dekritawati Yuliana Buhari – Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd


JIKA diukur dengan masa, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, mungkin masih terlalu mentah untuk memahami sepak terajang dunia perniagaan. Meneruskan legasi ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya sebagai pengasas empayar produk kecantikan Nouvelles Visages sejak lima bulan lalu, anak sulung enam beradik itu perlu secekal ibunya dalam mengharungi dunia perniagaan serba mencabar.

Mungkin pada anggapan sesetengah pihak, meneruskan perniagaan diwarisi daripada keluarga lebih mudah berbanding individu yang berhempas pulas membangunkan jenama bermula dari bawah.

Namun Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali Rita mempunyai pandangan berbeza. Baginya, individu yang mula-mula membangunkan perniagaan dengan individu yang meneruskannya mempunyai cabaran masing-masing.

“Produk ini sudah 12 tahun di pasaran dan dikenali. Cabaran saya ialah bagaimana mengekalkan perniagaan ini untuk tempoh 20 tahun akan datang. Asas sudah ada, cuma saya perlu memajukan perniagaan ini bagi memastikan ia kukuh dan boleh bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya.

Rita mengakui masih banyak perlu dipelajari untuk menerajui Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd kerana tanggungjawab dipikulnya sebagai pengarah syarikat terlalu berat dan memerlukan tumpuan penuh.

“Saya mungkin terlalu muda untuk menjadi orang atasan, tetapi saya perlu tunjuk saya boleh memimpin orang lain. Jangan pandang daripada segi rupa dan umur, sebaliknya tengok pada pemikiran kerana saya sebenarnya ‘kecil-kecil cili padi’,” katanya.

Antara dilema dihadapi Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd ini ialah ketika berurusan, orang bertanya usianya dan memberi reaksi terkejut sambil mengatakan dirinya muda.

Diajar berdikari sejak kecil, Rita mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni (Tekstil) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.

Rita mendapat pendedahan dalam dunia perniagaan sejak sekolah menengah apabila ibunya sering membawanya ke pejabat.

“Saya diajar membuka bil, cara menarik pelanggan dan melayani pelanggan yang datang membeli produk.

Setiap kali cuti sekolah, saya tidak berpeluang pergi bercuti seperti rakan lain, sebaliknya wajib datang ke pejabat seperti orang bekerja iaitu pergi pagi balik petang.

“Dulu saya sering tertanya-tanya kenapa ibu buat begitu. Saya merasakan dia tidak memberi kebebasan kepada saya. Ibu tidak pernah jawab apabila saya bertanya, cuma dia kata, nanti saya akan tahu. Sekarang saya sedar dia lakukan semua itu untuk memberi pendedahan kepada saya,” katanya.

Menurut Rita, dia pernah meminta kebenaran ibunya untuk mencari pengalaman kerja di United Kingdom selepas tamat pengajian kerana penuntut asing mempunyai dua tahun visa untuk kerja.

“Bagaimanapun, ibu tidak membenarkan saya meneruskan niat itu dengan alasan buat apa membazir masa sedangkan ibu boleh mengajar banyak benda. Akhirnya saya akur kehendak ibu untuk menguruskan syarikat,” katanya.

Antara perubahan dilakukan gadis itu ialah mengubah kaedah pemasaran produk yang lebih moden dan mengikut peredaran masa. Rita menggunakan saluran media cetak dan elektronik selain laman web sendiri dalam mengetengahkan produk kecantikan Nouvelles Visages.

Terkenal dengan produk kosmetik, Nouvelle Beauty Centre turut membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.

Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya manakala Nouvelle Development membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.

“Saya juga bercadang membuka perniagaan berkaitan fesyen kerana ada pengetahuan dalam bidang itu. Saya tidak mahu membazirkan tempoh lima tahun belajar bidang tekstil.

“Ilmu itu nanti boleh membantu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain menerusi pembukaan butik yang mengetengahkan pakaian rekaan saya. Ia dijangka dilancarkan tahun depan,” katanya.

Walaupun bergelar pengarah, Rita berkata, ibunya sentiasa memantau pergerakannya iaitu perlu patuh pada waktu kerja dengan masuk pada jam 9 pagi.

“Kami tinggal serumah dan ibu mudah memantau pergerakan saya. Saya perlu datang ke pejabat jam 9 pagi setiap hari,” katanya.

Kisah Kejayaan Azrymi Kudin – Pengarah Urusan Dynamic Crystal Network Sdn Bhd



PERNAH ada rakan menyifatkan tindakannya berhenti kerja di sebuah kilang dengan pendapatan mencecah RM12,000 sebulan sebagai ‘gila’.

Namun bagi Azrymi Kudin, 41, yang kini berjawatan Pengarah Urusan Dynamic Crystal Network Sdn Bhd, beliau rela melepaskan semua itu kerana mahu membina empayar perniagaan sendiri.

“Jika diikutkan gaji belasan ribu dengan jawatan kanan dalam sebuah syarikat gergasi, saya boleh dikatakan selesa, namun saya fikir untuk jangka panjang.

“Kerja seperti ini tiada pencen, malah semakin hari ramai mahasiswa keluar universiti, dan terfikir bagaimana anak saya pada masa depan jika tiada kerja selepas tamat pengajian universiti,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Cemara, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Begitupun, katanya, isterinya, Nazliah Ibrahim, 41, banyak memberi dorongan dan membantu ketika beliau mengambil keputusan berhenti kerja.

“Sebelum berhenti pada 2007, isteri ada mengusahakan bisnes kecil-kecilan iaitu butik pengantin dari rumah.

“Saya pula setiap Sabtu dan Ahad, bantu isteri dan cuti sekolah masa paling sibuk kerana banyak tempahan untuk kenduri kahwin.

“Apabila berhenti, isteri beri semangat dan kami menyewa kedai di Sungai Petani untuk menjalankan perniagaan butik pengantin,” katanya.

Siapa sangka, Azrymi juga berbakat dalam bidang solekan hasil pembabitannya dalam bidang itu, malah beliau kini turut mengadakan bengkel alat solek di seluruh negara untuk memberi tunjuk ajar kepada yang berminat mengenai solekan.

Katanya, perniagaan butik yang dimulakan pada 1998 berkembang sedikit demi sedikit sehingga mereka berjaya membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang, Kedah.

Antara pengalaman tidak dilupakan sepanjang mengusahakan butik pengantin ialah ada pengantin terpaksa menaiki perahu untuk disolek selepas rumah dilanda banjir selain beliau terpaksa meredah banjir dengan membawa kelengkapan perkahwinan.

Azrymi berkata, sepanjang terbabit dalam bidang itu, beliau terfikir mengapa tiada alat kosmetik berjenama Malaysia yang halal keluaran Bumiputera, sedangkan selama ini beliau menggunakan produk dari luar negara.

Berikutan itu Azrymi membuat kajian sendiri, terutama kehendak dan pasaran negara ini, sebelum berjaya menghasilkan jenama V2 (Vision of 2) merangkumi kosmetik, alat solek dan penjagaan kulit wajah seperti gincu, bedak, pewangi serta losen badan.

Katanya, untuk menghasilkan produk berkenaan, pelbagai cabaran ditempuh dari awal sehingga dikenali seperti mana hari ini.

“Saya pernah memohon pinjaman bank tetapi ditolak dengan alasan baru hendak memulakan perniagaan, malah ada juga menyatakan masih tidak cukup syarat.

“Mahu atau tidak, wang simpanan berjumlah RM200,000 terpaksa digunakan sehingga kami tiada simpanan langsung,” katanya.

Tidak cukup dugaan itu, 20 produk yang berjaya dihasilkan sukar memasuki pasaran, malah ada yang memandang sinis serta memfitnahnya.

“Selepas dilancarkan pada 2006, saya merantau bersama isteri ke seluruh negara. Kami pasarkan di mana-mana salun yang kami jumpa selain orang perseorangan.

“Ada yang menolak, pandang sinis, memfitnah dengan mendakwa syarikat kami berhutang dan muflis, malah ada juga kata produk kami tidak bagus.

“Lebih menyedihkan, ada yang menyatakan produk Malaysia tidak berkualiti,” katanya yang bekerja keras siang dan malam untuk memastikan produk mereka diterima.

Ketika itu Azrymi terfikir adakah beliau membuat keputusan salah selepas berhenti kerja selain rasa bersalah menyelubungi diri.

Begitupun, berkat dorongan dan semangat isteri, Azrymi bangkit dan tidak putus asa dengan apa diceburi.

“Sejak itu saya bertekad untuk terus memasarkan produk kami. Kami keluar pagi balik lewat malam merantau ke seluruh negara, malah ketika demam pun saya bekerja,” katanya.

Sikap tidak berputus asa dan usaha bersungguh-sungguh akhirnya membawa kejayaan apabila produk mereka diterima, malah kini memasuki pasaran Brunei dan Singapura.

Daripada beberapa produk, syarikat Azrymi kini memiliki 30 produk dalam tempoh lima tahun kewujudannya dan beliau menetapkan sasaran setiap empat bulan sekali, satu produk baru dikeluarkan.

Sebenarnya, kejayaan dikecapi anak jati Kedah itu turut dipengaruhi kehidupannya masa lalu.

Katanya, sejak berusia 10 tahun lagi beliau terdedah dengan dunia perniagaan apabila membantu bapa menjual ikan di pasar malam sekitar Kuala Kedah.

“Saya bukan lahir daripada keluarga kaya dan saya selalu membantu ayah menjual ikan, terutama pada hujung minggu atau cuti sekolah.

“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya berniaga sendiri bermodalkan wang RM30 yang dipinjam daripada ayah untuk menjual kuih pulut sambal.

“Saya berniaga di sebelah gerai ayah dan mendapat keuntungan kira-kira 20 peratus,” katanya.

Kisah Kejayaan Sulaiman Yusof – Pengarah Urusan Feeko Haus Sdn Bhd



MENGIMPIKAN kehidupan semewah jutawan terkenal Amerika Syarikat, Donald Trump membuatkan dia tekad mengubah nasib keluarga yang ketika itu hanya bekerja sebagai penjual insurans.

Menyedari kehendak dan cita rasa tinggi tidak dapat dipenuhi dengan makan gaji saja, Sulaiman Yusof, 36, mula berfikir mahu memulakan perniagaan kerana itu saja cara yang dirasakan mampu mengubah cara hidup menjadi lebih terjamin.

Pernah bekerja sebagai penjual mancis di kaki lima, penjual cakera padat, aksesori perak dan penjual kuih di pasar Ramadan menjadikan dirinya lebih yakin selain menganggap sebagai latihan komunikasi sebelum melahirkan produk sendiri. Mengakui bukan mudah mahu berjaya, dia tidak menoleh ke belakang sebaik menemui lubuk perniagaan yang pada waktu itu tidak terfikir di minda kebanyakan Bumiputera.

“Saya dapat ilham untuk membuat perniagaan ice blended ini selepas melihat rakan membuatnya ketika bertandang di rumahnya. Waktu itu tidak terlintas di fikiran untuk buat secara besar-besaran memandangkan perniagaan sebelum ini hanya bertahan tidak lebih enam bulan.

“Namun berbekalkan azam dan keinginan tinggi, saya cuba mengkomersialkan ice blended ini mengikut cita rasa dan resipi sendiri,” kata pengusaha ice blended jenama Feeko Haus Sdn Bhd ini.

Menurutnya, sebelum Feeko berada pada tahap sekarang pelbagai cabaran dilalui, terutama persepsi masyarakat terhadap tanggapan Bumiputera yang tidak akan berjaya apabila memulakan sesuatu perniagaan kerana tiada kesungguhan.

“Pada awalnya saya hanya menggunakan wang sendiri sebagai modal sebanyak RM500 untuk menghasilkan serbuk ice blended dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM18 sekilo gram.

“Tidak cukup dengan itu, saya turut mempromosikan produk ini di kantin sekolah, restoran dan memberi secara percuma jika ada program tertentu sebagai langkah awal memperkenalkan produk kepada orang ramai.

“Waktu itu kehidupan memang susah. Bayangkan saya tiada satu sen pun duit kerana hasil jualan yang diperoleh digunakan untuk modal pusingan.

“Sampai satu ketika, sewaktu menghantar tempahan pelanggan di Bandar Tun Razak saya dan isteri hanya menunggu wang yang akan dibayar oleh pelanggan berkenaan untuk mengisi minyak kereta dan makan tetapi kecewa kerana pelanggan membayar dengan memberikan cek,” kata ayah kepada lima cahaya mata ini.

Pun begitu, dia tetap menganggap segala keperitan yang dilalui sebagai kenangan terindah dalam hidupnya sebelum melalui fasa yang lebih selesa.

Sulaiman berkata, cabaran paling besar sepanjang mengendalikan perniagaan ice blended ialah apabila orang ramai masih tidak mengenali produk berkenaan.

“Saya hampir putus asa kerana orang ramai seakan-akan sukar menerima pada awalnya. Tambahan pula produk Bumiputera dianggap tidak setanding dengan produk sedia ada.

Walaupun berdepan pelbagai situasi mencemaskan, dia tetap akur kerana setiap kesusahan pasti akan berbayar kesenangan jika tidak kenal erti putus asa.

Berkat kesabaran dan menyertai beberapa pameran hab makanan di seluruh negara, Sulaiman bersyukur kerana semakin hari produknya dikenali hingga ada pihak menawarkan pinjaman.

“Saya menerima pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sebanyak RM40,000 dan duit itu digunakan untuk membeli kenderaan syarikat bagi menghantar produk kepada rakan niaga selain beberapa peralatan tambahan lain.

“Walaupun pencapaian ini tidak sebesar syarikat lain, saya bersyukur kerana sejak ditubuhkan pada 2007, Feeko semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Bermula hanya lima perisa, kini Feeko melangkah lebih maju dengan memperkenalkan 15 perisa baru seperti Tiramisu, Teh Hong Kong, Teh Lemon, Mentega Kacang dan Kopi Karamel.

Ditanya kelebihan ice blended keluaran syarikatnya berbanding jenama sedia ada di pasaran, Sulaiman menjelaskan Feeko dihasilkan melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dibuat sendiri olehnya malah lebih istimewa ia resipi yang dicipta Sulaiman serta boleh dinikmati semua peringkat umur kerana tidak terlalu manis.

Lebih membanggakan, Feeko kini mempunyai 100 rakan niaga berdaftar di seluruh negara dan turut menyediakan perkhidmatan latihan serta rundingan kepada usahawan yang mahu memulakan di bawah program Feeko Mobile dan Feeko Station.

Bersesuaian dengan visi syarikat menjadi peneraju industri minuman berasaskan ice blended terkemuka di Malaysia di samping menawarkan minuman berkualiti, enak serta halal.

“Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan saya masih belum puas dengan apa yang dikecapi hari ini,” katanya.

Kisah Kejayaan Ainual Azhar Jasmi – Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd

PENOLAKAN sering dianggap sesuatu yang negatif dan mudah membuat seseorang kecewa. Namun jika direnungkan kembali, pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian, malah kadangkala lebih banyak kebaikan tersembunyi.

 Tiga belas tahun lalu, anak Kuala Pilah itu yang bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan sos milik Bumiputera pernah mencadangkan kepada majikannya supaya mengeluarkan mayonis. Beliau yakin produk itu boleh pergi lebih jauh di masa akan datang dan menjadi makanan digemari rakyat Malaysia.

“Ketika itu mayonis belum popular dan dianggap makanan orang Barat. Apabila saya mencadangkan majikan mengeluarkan mayonis, cadangan saya dipandang sepi kerana majikan tidak berani meneroka pasaran bagi produk baru itu.

“Ini menguatkan semangat saya untuk mengusahakannya sendiri. Saya berhenti kerja dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengusahakan produk berkenaan sebelum menghasilkan produk dua tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuknya merintis jalan membangunkan produk yang belum dikenali. Membuat mayonis bukan sesuatu yang mudah.

“Untuk menghasilkan produk baru, kita perlu ada pengetahuan, kefahaman dan teknik pembuatan produk.

Untuk mendapatkan pendedahan lanjut mengenai teknik pembuatan mayonis, saya ke Jerman hampir sebulan.

 “Tiba di sana, saya dapati teknologi digunakan pengeluar mayonis di negara itu terlalu tinggi. Saya mencari kaedah bagi pemprosesan yang tidak membabitkan pelaburan tinggi. Mengikut kemampuan yang ada, saya berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknik konvensional,” katanya yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi makanan.

Syarikatnya, AJ Food Industries (M) Sdn Bhd berjaya menghasilkan mayonis sendiri diberi nama Jasma iaitu gabungan nama bapa dan ibunya iaitu Jasmi dan Asma. Tidak seperti mayonis di negara Barat dan Arab yang masam, mayonis Jasma bersesuaian cita rasa masyarakat tempatan iaitu rasa masam tetapi lemak manis.

Ketika memperkenalkan produk, Ainual turun padang meminta pekedai memberi peluang kepadanya memasarkan produk. Walaupun pada peringkat awal mereka sukar menerima kerana ada syarikat pesaing yang memonopoli pasaran, penerimaan berperingkat membolehkan Jasma berlegar di pasaran.

Sesuatu yang ajaib, ternyata Ainual bernasib baik atau ‘langkah kanan’ kerana tiba-tiba syarikat pesaing yang mengeluarkan produk mayonis menghadapi masalah membekal. Ini membuka ruang yang luas untuk Ainual memperkenalkan produk Jasma.

 “Saya tidak menghadapi masalah besar untuk memasarkan produk walaupun ia belum dikenali dan baru di pasaran. Walaupun pada masa itu pembungkusan kurang cantik, ditambah ia bukan produk makanan tempatan, pekedai dengan mudah memberi peluang saya memasarkan produk Jasma.

Namun, kegembiraan itu cuma bersifat sementara kerana apabila syarikat pesaing mengetahui perkara itu, mereka terus melambakkan barangan mereka di pasaran,” katanya.

 Tahun pertama dipasarkan, mayonis AJ Food Industries (M) Sdn Bhd mencatat jualan drastik, malangnya jatuh menjunam pada tahun kedua akibat lambakan produk pesaing selain masalah dengan kualiti produk Jasma.

“Mayonis yang kami pasarkan menghadapi masalah kerosakan ketika dalam pasaran. Masalah berlaku pertengahan 2000 dan berlarutan hingga 2004 menyebabkan syarikat hampir ditutup.

“Keyakinan pekedai menurun hingga memberi masalah untuk memasarkan kembali produk disebabkan sukarnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Pada 2004, syarikatnya bangkit daripada kejatuhan dan mengambil masa dua tahun untuk membina semula nama. “Seperkara yang saya peroleh daripada kejadian itu ialah pelanggan perlu dijaga. Syukur, mereka masih memberi peluang kepada saya memasarkan produk di pasar raya mereka,” katanya.

Menurutnya, antara kekuatan untuknya bangkit daripada kegagalan itu ialah apabila pekerjanya masih setia dan sanggup bersama mengharungi kesusahan dialami syarikat.

Antara pengalaman dilalui ketika memasarkan produk ialah pulang malam dan awal pagi. Malah, beliau pernah ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu menghantar barangan ke Gua Musang kerana tidak memiliki lesen kenderaan membawa barang (GDL).

“Saya nekad meminjam van abang untuk menghantar barangan walaupun tiada lesen kenderaan membawa barang,” katanya.

Bercita-cita menjadikan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dalam pengeluaran mayonis untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, Ainual kini dalam perancangan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah di pasaran iaitu melalui penghasilan makan berasaskan mayonis.

Bagi menjaga nama baik dan kualiti produk, syarikat menyimpan sampel mayonis setiap kali pengeluaran untuk rujukan.

 “Kami pernah melalui pengalaman kurang menarik iaitu produk dipasarkan rosak dan apabila merujuk sampel, didapati ia juga rosak. Setiap sampel disimpan sebagai rujukan jika berlaku kes bekalan rosak di pasaran.

Selain itu, kami membuat analisis makmal dan analisis kimia bagi memastikan produk dalam keadaan baik, malah pelawat juga tidak digalakkan melawat kilang pemprosesan bagi mengelak pencemaran,” katanya.

credit to HMetro

Kisah Kejayaan Norazean Abdul Aziz – Pengarah Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd

BARU berusia 32 tahun, tetapi pencapaian dan kemampuannya boleh diumpamakan satu dalam 1,000. Betapa tidak, pada usia semuda itu beliau memiliki lebih daripada satu syarikat, bangunan sendiri yang nilainya melebihi RM1 juta dan bergelar bos kepada lebih 100 kakitangan.

Tanyalah hal berkaitan lembu, terutama lembu susu, insya-Allah beliau boleh menjawabnya.

Malah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau memberi gambaran betapa ‘ilmunya’ berkaitan haiwan berkenaan kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.

“Kalau awak nak tahu, lembu susu adalah haiwan yang sensitif dan tidak boleh tertekan. Kita perlu tunjukkan kasih sayang kepada haiwan itu kerana ia kaedah berkesan untuk lembu terbabit menghasilkan susu yang lebih banyak.

“Lebih elok jika wanita menjaga haiwan itu. Di ladang saya, setakat ini dua wanita ditugaskan menjaga lembu dan ia ternyata berkesan dalam menghasilkan susu lebih banyak,” katanya selamba.

Siapa sangka, di sebalik usia dan penampilan yang tampak lemah lembut, wanita bernama Norazean Abdul Aziz itu agresif dalam dunia perniagaan.

Sebelum ‘menguruskan’ lembu, beliau terlebih dulu meraih kecemerlangan dalam bidang pelancongan.
Hanya dalam tempoh tiga tahun (2002 hingga 2005) menjalankan perniagaan pelancongan menerusi syarikat Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd, beliau berupaya membeli bangunan sendiri yang dinamakan Wisma PPV di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 27 tahun.

Daripada hanya menguruskan pakej pelancongan dalam negara, kini nama PPV bukan lagi asing sebagai sebuah syarikat pelancongan yang lengkap serba serbinya.

Ada bas persiaran sendiri dan sebut apa saja khidmat berkaitan pelancongan tidak kira dalam atau luar negara, semuanya ada di PPV.

Selepas enam tahun meletakkan PPV pada kedudukan terbaik dan mempunyai prestij tersendiri, Norazean menubuhkan pula syarikat Prestige Dairy Farm (PDF) (M) Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perniagaan memelihara lembu untuk menghasilkan produk tenusu dan daging.

Bagi Norazean atau lebih mesra dengan panggilan Azean, usahanya meneroka bidang berkenaan yang semestinya dianggap janggal bagi wanita, dijadikannya cabaran.

Beliau sanggup mengetepikan rasa kurang selesa terhadap haiwan berkenaan kerana yakin dengan masa depan perniagaan dalam bidang itu.

“Dulu nak dekat dengan lembu susah juga sebab saya tak tahan baunya. Sekarang tiada masalah untuk saya berbuat demikian, malah saya sifatkan lembu juga seperti haiwan peliharaan lain yang perlu diberi kasih sayang dan dijaga dengan sempurna.

“Dalam perniagaan ini suami banyak membantu, malah dialah pencetus kepada penubuhan syarikat ini. Kami bersama-sama merealisasikannya,” katanya.

Kesungguhan Azean terhadap perniagaan itu terbukti dengan visi dan misinya. Beliau menyifatkan susu lembu umpama gula yang diperlukan dalam kehidupan setiap hari.

“Susu sama saja macam gula. Daripada bayi hinggalah orang tua, semua minum susu dan terbukti susu mendapat permintaan yang sangat tinggi.

“Bukan setakat susu, macam-macam boleh dibuat dengan susu lembu, antaranya minyak sapi. Justeru, saya ambil peluang ini untuk memberi tumpuan dalam perniagaan berkenaan,” katanya.

Bermula dari 2008, PDF kini mempunyai lebih 500 ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey diimport dari Australia, selain lembu daging yang ditempatkan di ladang Alifah, Kluang, Johor.

Dengan lebih 30 kakitangan dan peralatan pemprosesan susu canggih, PDF kini tersenarai sebagai pengeluar susu lembu kedua terbesar di negara ini.

PDF turut membuka peluang kepada orang ramai bersama-sama menikmati faedah daripada permintaan tinggi susu lembu menerusi pakej diperkenalkan PDF.

Beli lembu daripada PDF dan terima hasil sehingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pengeluaran susu lembu yang dibeli.

Tidak perlu bersusah payah menguruskan lembu dimiliki kerana PDF akan menguruskan semua hal berkaitan, daripada menjaga, memberi makan, memerah susu hinggalah hal pemasarannya.

Setiap lembu dibeli akan diberi sijil dan Azean mengalu-alukan pemilik lembu hadir ke ladang PDF di Kulai Johor untuk melihat lembu mereka.

Bagaikan terlalu mudah, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, Azean mampu mengecap kejayaan dan memang lumrah, kejayaan diperoleh mengundang pelbagai persepsi.

Bagi Azean, beliau sedia maklum, barangkali ada yang beranggapan beliau ‘orang senang’ menyebabkan mudah untuknya meraih kejayaan sesingkat itu.

Namun hakikatnya Azean bukan dilahirkan di dalam ‘mangkuk emas’ yang memungkinkan beliau lebat dengan wang ringgit sehingga mampu melakukan apa saja. Ibu bapanya juga bukan orang berpengaruh sehingga mampu membantu memudahkan perjalanan perniagaannya.

“Bapa saya bekerja sebagai pemandu limosin dan ibu suri rumah. Mereka tidak mampu memberi kekayaan, tetapi yang masih terngiang-ngiang, ayah selalu kata dia hanya mampu memberi kasih sayang dan pendidikan terbaik untuk anaknya.

“Didikan, kasih sayang dan kesungguhan ibu dan ayah memberi saya pendidikan terbaik dijadikan dorongan serta semangat untuk saya merubah nasib keluarga pada masa depan,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan untuk beliau mengecapi kejayaan seperti hari ini bukan mudah.

“Ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya melakukan kerja sampingan untuk mencari wang perbelanjaan dan pada masa sama menimba pengalaman.

“Nak minta wang daripada orang tua, saya tak sanggup kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

“Saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 9 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

“Bohonglah saya katakan tidak penat dan tertekan… bila nak mengulangkaji, menyiapkan tugasan diberi pensyarah dan memberi tumpuan kepada pekerjaan. Apapun, saya kuatkan semangat dan teruskan sehingga tamat pengajian,” katanya.

Kesungguhan Azean berbaloi apabila terus diberi kepercayaan bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian hinggalah dilantik ke jawatan ketua bahagian pemasaran.

Bagaimanapun, kejayaan diperoleh menimbulkan iri hati pihak tertentu, menyebabkan beliau ditukarkan ke bahagian sumber manusia.

“Kepakaran saya adalah bidang pemasaran. Apabila ditukarkan ke bahagian sumber manusia, untuk apa lagi saya bekerja di situ. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan ketidakadilan itu membuatkan saya nekad untuk bekerja sendiri,” katanya.

Azean memanfaatkan kepakarannya dalam bidang jualan dan pemasaran untuk menceburi bidang saham amanah. Tidak dilayan, terpaksa tebalkan muka dan dimarahi antara pengalaman yang lama kelamaan menjadi kebiasaan buatnya.

Berbekalkan pengalaman berkenaan, Azean mencuba pula bidang pelancongan dengan membuka syarikat pelancongan kecil-kecilan dinamakan PPV. Buat permulaan, tumpuan diberi kepada pakej pelancongan dalam negara terlebih dulu.

“Ketika berhenti kerja dan buat saham amanah, adalah sedikit modal. Saya sewa kedai kecil dan mencari pelanggan sendiri. Memandangkan sudah biasa ‘tebal muka’, saya telefon hotel sendiri, jumpa pengurus hotel sendiri dan cari pelanggan sendiri.

“Alhamdulillah, berkat pengalaman, dapatlah pelanggan dan tambah dua hingga tiga kakitangan untuk melicinkan urusan perniagaan,” katanya.

Setahun kemudian, PPV mendapat lesen untuk menyediakan pakej pelancongan luar negara dan pencapaian PPV terus cemerlang dengan beroperasi di bangunan sendiri dan pertambahan pelanggan dari semasa ke semasa, dari individu hinggalah sektor korporat dan kerajaan.

Bertemu jodoh dengan Mohd Helmi Ali pada usia 27 tahun, PPV terus megah dan perjalanan Azean terus ke puncak dengan penubuhan PDF.

Liku perjalanan Azean dalam menguruskan dua syarikat berkenaan turut dicemari episod duka ditipu kenalan sendiri.

“Saya pernah beberapa kali ditipu sehingga rugi lebih RM200,000. Kenalan sendiri sanggup berbuat demikian selepas melihat kesungguhan saya untuk mencuba cabang perniagaan saya, “Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana insiden itu mengecewakan saya. Ia pengalaman berharga untuk saya lebih berhati-hati,” katanya.

Reda dengan apa yang berlaku, Azean tidak mahu pengalaman pahit itu melemahkan semangatnya.

“Saya dan kakitangan umpama keluarga. Jika saya putus asa dan perniagaan tergugat gara-gara masalah tertentu, bagaimana nasib lebih 100 kakitangan saya.

“Sampai ke tahap ini saya tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Nasib kakitangan juga perlu diambil berat,” katanya yang kini bahagia dengan tiga cahaya mata.

Di akhir pertemuan, Azean memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan yang diperolehnya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.

“Selain keluarga, suami banyak menyumbang kepada kejayaan saya. Dia selalu memberi semangat dan berpesan supaya jangan terlalu berasa selesa dan leka,” katanya

credit to MyMetro