Thursday, August 20, 2015

SEJARAH AWAL BAGAIMANA AIRASIA BERMULA



Temuramah dengan Tan Sri Tony Fernandes (Gambar adalah pejabat Tony Fernandes di LCCT, ada satu pintu yang membolehkan anda naik ke atas, di antara barisan kedai-kedai, ada lif, tingkat 1) .

SIAPA YANG MULA-MULA TERLIBAT?
Saya dan Kamaruddin berdua pada mulanya, Kamaruddin saya kenal melalui Roslan Aziz, dulu saya bekerja dalam industri hiburan, bila saya balik (dari England) tidak ada musik tempatan, hanya ‘Mat Saleh musik’.

Kami mulakan musik tempatan, dengan Jamal Abdillah, Salem, dan Zainal Abidin, saya kenal dengan Roslan Aziz dan Roslan perkenalkan saya dengan Kamarudin.

Sampai satu hari saya jemu berkerja dengan orang asing, saya terfikir hendak buka syarikat penerbangan, dan Kamarudin adalah orang yang tidak ketawa dengan idea saya.

Dia orang yang terlibat dengan dunia kewangan. Jadi saya beritahu, boleh pergi cari RM20 juta, kita perlukan.

KENAPA PILIH SYARIKAT PENERBANGAN?
Bila saya bersekolah di England, ayah saya hantar saya ke sana ketika berusia 12 tahun, tidak ada siapa yang menunggu di lapangan terbang, saya perlu menaiki bas ke sekolah itu, saya lakukan sendiri. Dan bayangkan ketika itu, bila saya sampai ke lapangan terbang, semua orang berkulit putih… kah kah kah (ketawa).

Ketika itu tidak ada telefon bimbit, perlu guna telefon awam, saya telefon emak tanya, boleh saya balik masa cuti penggal, emak saya kata, tidak boleh kerana (tiket penerbangan) terlalu mahal.

Dari saat itulah, saya terfikir, satu hari perlu buat penerbangan murah, perkara itu sentiasa ada dalam fikiran saya.

Ibu saya ketika muda memulakan perniagaan Tupperware di Malaysia, banyak staf saya kini adalah bekas pekerja ibu saya.

Saya selalu ikut dia terbang ke sana-sini untuk perniagaannya, jadi konsep penerbangan tambang murah ini sentiasa bermain di fikiran.

Bila saya berhenti dari Warner Music, saya duduk di bar dan lihat iklan Easyjet (syarikat penerbangan murah England) dan saya terfikir wow, idea ini bagus.

Kemudian saya pergi ke lapangan terbang Luton, sunguh mempersonakan, boleh terbang ke Barcelona tambah lapan pound, ke Paris 10 pound.

Saya jumpa Kamarudin dan beritahu hendak buka syarikat penerbangan, dia tak kata ‘idea bodoh’ atau seumpamanya, dia kata okay.

Kami jumpa, saya terangkan kepadanya, dia kata, okay, saya join, dan kemudian tanya, apakah saya nak gunakan duit saya sendiri, saya kata ya, dia kata okay, saya setuju kita bahagi 50-50, saya kata ini idea saya bagilah saya 51, dia kata okay. Selesai.

Kemudian saya ajak Aziz Bakar sertai kami, kami bertiga dengan modal RM 1 juta, (Aziz tak letak duit). Kami mula duduk bersama, dan mula buat bisnes plan.

Ia agak mengejutkan sebab kami semua tidak ada pengalaman dalam dunia penerbangan. Kami dapat dari internet.

Kemudian, kami jumpa dengan Datuk Pahamin (Ab Rajab) (bekas Ketua Pengarah Jabatah Pengangkutan Jalan) kami pernah berkerjasama hapuskan cetak rompak ketika saya masih dalam industri hiburan.

Kami jumpa (bertiga) dan makan roti canai, kemudian Aziz buka cerita, “eh macam mana kita hendak dapat lesen penerbangan? “ Kami semua saling berpandangan, “Yalah macam mana hendak dapat lesan penerbangan..” sudah tentu tak boleh dibeli di kedai… kah kah kah (ketawa)

Kemudian Kamaruddin kata “Kita perlukan sokongan politik,” sekali lagi kami saling berpandangan… kami tak kenal siapapun… kah kah kah

Kami kemudian pergi jumpa Datuk Pahamin, terangkan kepadanya, dia suka idea itu dan setuju, dia ada pengalaman dalam Kementerian Pengangkutan, bila timbul soal lesen, dia kata, kita perlu berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir.

Jun 2001, kami bertiga saya, Aziz dan Pahamin, Kamarudin tidak dapat sertai.

Saya sampai awal, ketika sampai, pagar pun belum buka, tidak lama kemudian, bila boleh masuk, kami duduk menunggu sampai ada orang datang, mereka kenal Aziz, dan tanya “Jumpa PM sebab cetak rompak ke?” kah kah kah

Semua orang kenal kami sebagai orang dalam industri hiburan, tapi Aziz kata “Tidak kami mahu buka syarikat penerbangan,” “semua ketawa” kah kah kah.

Semasa kami menunggu, ada pegawai PM beritahu, hari ini bukanlah hari yang baik untuk bertemu PM, saya tanya mengapa, katanya, temujanji pertama PM hari itu adalah dengan pembangkang.

Ia berhubung isu sakit belakang Anwar Ibrahim yang dipenjara ketika itu, yang hadir jumpa PM termasuk ketua pembangkang Datuk Fadzil Noor.

Saya diam, kemudian diberitahu, temujanji kedua PM hari itu adalah dengan MAS, wah lengkap, mula-mula pembangkang kemudian dengan MAS, kamu bayangkan…kah kah kah (ketawa)

Saya terfikir hendak tulis semula CV dan pergi ke BMG Music… hahaha

Ketika beliau masuk ke pejabat PM, luas sungguh, Dr Mahathir kamu tahulah, dia serius orangnya dan terus berkata, “I’m sick, make it fast,”.

Saya terfikir, mula-mula pembangkang, kemudian MAS dan kini PM kata dia tidak sihat. Hahaha, lengkap.

Saya fikir habislah, saya tidak bercakap soal cadangan kami lagi, sebaliknya, sebagai orang dari industri hiburan, saya beri PM satu CD album terbaru SM Salim dan Siti Nurhaliza, rakaman terakhir saya, saya tahu PM peminat SM Salim.

Bila hilang kekok, baru saya bentangkan cadangan saya, Dr Mahathir tidak kata apa-apa, dia hanya senyum sikit bila saya bergurau tentang Singapura, tetapi akhirnya, kami semua terkejut, kerana PM tahu semuanya tentang penerbangan tambang murah.

PM kata dia suka lihat kesungguhan kami, walaupun latar belakang kami bukan dari industri penerbangan, tapi kami menunjukkan kesunguhan, dan dia yakin akan berjaya.

PM akhirnya kata, “Saya tidak ada masalah dengan idea kamu…” kami semua teruja dengan komen dia untuk setengah minit, dan kemudianya dia kata “Tapi… kamu kena ambil alih syarikat penerbangan yang ada, ada dua syarikat penerbangan yang gagal, kamu kena ambil alih yang sudah ada…”

Pertemuan berakhir, kami keluar dan berfikir, duit ada sejuta sahaja, macam mana hendak beli syarikat penerbangan, tapi saya positif.

Kami pergi ke Pelangi Air, anak syarikat milik kerajaan Terengganu, tapi kami dapati sukar untuk baik pulih syarikat itu.

Entah bagaimana, satu hari saya sedang bermain golf saya terlihat kawan lama DRB Hicom, saya teringat tentang Air Asia kepunyaan mereka, saya tanya kepadanya, dia soal semua, “kamu mahu membelinya? Esok pun boleh…kami tidak mahukannya”

Kemudian kami atur pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi DRB Hicom, konsisten, mereka mahu jualnya, mereka tanya saya berapa saya hendak beli, saya bergurau RM1, ya kata mereka esok kamu boleh ambil alih.

(Nota: Ketika itu Air Asia ada hutang sebayang RM40 juta, dengan dua pesawat dan 254 kakitangan)

Kami setuju dan tandatangan perjanjian pada 8 september 2001, 10 tahun dulu.

Kami tiada modal, saya dan Kamaruddin cagarkan rumah kami pada bank untuk cari modal.

DRB Hicom banyak membantu kami diperingkat permulaan, saya perlu nyatakannya.

Kami syarikat penerbangan berlandaskan syariah sebenarnya. Kami satu-satunya penerbangan yang tidak menjual alkohol di rantau ini.

(Ahmad Faizul) ini antara paling awal sertai kami. Dia buat macam-macam tugas, pengurus kabin crew dan lain-lain. Dia dari MAS, sekarang dia jaga komunikasi saya.

Dia bacth yang ke lapan, satu sampai tujuh staf asal ketika bersama DRB Hicom lagi, dia yang ke lapan, dan kini kami ada 127 bacth dalam masa sepuluh tahun.

Saya ingin tekankan bahawa, kami syarikat 1Malaysia dari awal lagi, dan kami juga syarikat bumiputera, ini bukan Ali-baba, Kamaruddin, Aziz Bakar dan Datuk Pahamin adalah pemegang saham yang aktif dan kami kawan.

Kalau kamu lihat Pegurus Kanan Air Asia kamu dapati ramai bumiputera, tapi tidak pernah terfikirkannya, dan kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing.

Majoriti staf adalah bumiputera. Pembahagian tugasnya mudah, Kamarudin jaga kewangan dan korporat, Aziz Bakar jaga PR, dan saya jaga marketing dan operasi.

LALUAN PENERBANGAN PERTAMA AIRASIA?
Memula-mula saya dapat laluan ke Langkawi, kemudian dapat Pulau Pinang dan selepas dua tahun kami beroperasi semuanya jadi lebih mudah. Pada kami orang ramai, rakyat yang banyak membantu kami.

Kerana sebelum itu sukar untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan (mahal). Orang ramai yang berjuang untuk kami. Sebenarnya orang pertama yang membantu kami dari segi media adalah Rocky Bru (Ahtirudin Atan) dan NST.

Dia adalah editor Malay Mail, saya duduk dengan beliau, dan beliau banyak membantu, juga Utusan dan Berita Harian, Datuk Manja Ismail. Aziz Bakar kenal mereka ini semua.

BAGAIMANA ANDA MEMBINA AIRASIA?
Kami membina jenama, tidak ada syarikat Malaysia yang melabur seperti kami, kami taja MU, pengadil, Formula 1, LA Rangers, kamu tidak boleh pergi dari 200,000 penumpang kepada 30 juta penumpang tanpa melabur.

MAS perlu membina jenamanya.Taja golf atau apa saja, Emirates ada di mana-mana. Kamu potong kos di sana sini, dan akhirnya kamu tiada keuntungan, tiada gunanya.

Syarikat Malaysia kurang pentingkan pembangunan jenama, kami sebaliknya, saya ke Liga Perdana Inggeris, bentangkan kepada mereka mengapa perlu menyokong syarikat Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia sudah menonton Liga Perdana Inggeris sejak 60 tahun dulu.

Membina jenama adalah amat penting pada syarikat yang ingin berkembang, ketika kami menaja MU, saya dan Kamarudin ke Old Trafford, kami tidak menonton perlawanan, kami menonton papan iklan… hahaha wow Air Asia.. haha.

Thursday, August 13, 2015

Menjadi Jutawan Dengan Menjual Rumpai Laut


Kisah Jutawan muda ini tidak semudah yang disangka. Aitthiphat Kulapopngvanich juga dikenali sebagai Top dibuang sekolah kerana beliau merupakan seorang pelajar bermasalah.

Top sangat menggilai permainan online. Beliau mendapat idea untuk memperolehi wang melalui hobinya itu. Beliau menjual senjata permainan onlinenya kepada rakan ‘online gamers’ yang lain bagi mendapatkan wang.

Tidak dinafikan Top dapat wang yang banyak melaluinya. Akan tetapi ia tidak bertahan lama kerana ia merupakan satu kesalah dan akaun permainan Top telah disekat oleh server.


Dengan duit simpanan yang dia ada, Top kemudian beralih kepada penjualan pemain DVD. Malangnya stok DVD yang beliau terima merupakan jenama tiruan. Beliau kehilangan duit simpanan setelah ditipu oleh penjual DVD tersebut.

Top mula mendapat kesedaran dan menyesal kerana mengabaikan pelajarannya ketika disekolah. Pada masa yang sama juga, perniagaan bapa Top menghadapi masalah ketika itu.

Namun begitu, beliau tidak mengaku kalah malah berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memulakan bisnes sendiri.

Keluarganya terpaksa berpindah ke China sementara Top  pula masih lagi di Thailand meneruskan kehidupannya bersama seorang pak cik. Bermula dari situ, Top belajar dari kosong bagaimana untuk berniaga.

Anda boleh ikuti kisah hidup Top dengan menonton filem khas “The Billionaire”  yang diadaptasi cerita sebenar yang berlaku dalam kehidupan Top.



Kredit : majalahniaga.com

Wednesday, August 12, 2015

CEO JelitaSara Pernah Jual Stokin dan Gamat



Kisah ini merupakan sejarah kehidupan Tuan Wan Zaki selaku CEO JelitaSARA. Ikuti perjalan bisnes beliau yang bermula dari kosong sehingga menjadi seperti apa yang anda lihat sekarang.

Bermula Kosong

Saya bermula tanpa latar belakang pendidikan formal tentang perniagaan. Saya mula belajar tentang berniaga seawal umur 18 tahun bila mana cikgu saya mengadakan lawatan ke Langkawi menaiki kapal terbang. Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran di Matrik USM SOKSek Pulau Pinang.

Memandangkan saya belum pernah menaiki kapal terbang, jadi keterujaan itu Allah sahaja yang tahu. Bagi mencari duit untuk membeli tiket penerbangan, saya mula berniaga menjual kacang, kerepek dan float. Saya beli kacang dan kerepek secara borong dan bungkus semula dalam pek kecil.

Ketika itu saya hanya menjual kepada kawan-kawan dalam kelas. Kawan-kawan dorm saya yang membantu untuk packing. Alhamdulillah, akhirnya saya mempunyai cukup duit untuk mengikuti lawatan dengan menaiki kapal terbang.

Setelah tamat zaman belajar di Universiti, bermulanya kehidupan bekerjaya pada sekitar tahun 2003. Pekerjaan saya ialah sebagai QA Engineer di Melaka. Kakak saya pula ketika itu bekerja di kilang fesyen berdekatan Senawang.

Kilang tersebut ada mengadakan jualan murah kepada staff mereka. Kakak saya menyarankan agar saya cuba menjual stokin. Pada pandangan saya ia merupakan cadangan yang baik memandangkan stokin itu berkualiti tinggi serta dieksport ke Eropah. Pasti rakan pejabat saya akan menyukainya.

Teringat kenangan ketika menjual. Selling point stokin itu ialah ia merupakan stokin anti-bakteria. Tetapi kawan saya menyakat dengan memanggilnya stokin antibiotik. Saya tak kisah apa pandangan mereka.

Hasil jualan stokin itu dapat memberi saya tambahan pendapatan RM 300- RM 400 sebulan. Saya berasa seronok menjual. Rakan pejabat memanggil saya dengan gelaran ‘Zaki Stokin’ pada ketika itu.

Hutang Menimbun, Tekanan Bertambah

Tanpa disedari sudah setahun saya bekerja di Melaka. Saya mula mengumpul hutang melalui kad kredit. Hidup terasa semakin terikat dengan bebanan hutang. Saya tercari-cari jalan keluar.

Melihat akan keadaan saya yang semakin meruncing, abang saya mencadangkan agar membaca buku mengenai perancangan kewangan iaitu Rich Dad Poor Dad tulisan Robert Kiyosaki.

Atas rasa ingin tahu yang tinggi, saya mencari buku itu dan membacanya. Untuk pengetahuan, saya bukanlah jenis yang suka membaca. Entah kenapa buku ini saya berjaya habiskan juga pembacaan.

Saya rasa kagum. Ia mula membuka minda saya. Saya mula kenal pasti apa yang saya mahu, saya mula faham ‘why factor‘ dalam diri saya.

Ditakdirkan kawan rapat saya mendekati saya suatu hari untuk menyertai MLM. Saya bersetuju untuk menyertainya dan positif 200% bahawa saya akan berjaya.

Ketika dalam bisnes MLM, saya belajar lebih lanjut mengenai perkongsian yang berkesan dan bagaimana untuk menghasilkan jualan. Saya juga belajar mengenai kepimpinan, networking, khidmat pelanggan, dan yang paling penting belajar mengenai bisnes secara bersistem.

Malangnya ada rakan-rakan yang tidak setuju dan menjauhi saya kerana saya menyertai MLM. Sudah tentu saya rasa sedih dan terkilan. Namun ia tidak sekali-kali mematahkan semangat saya kerana saya masih ada rakan-rakan yang mahu berjaya bersama- sama dengan saya.

Saya dikenali sebagai Zaki Gamat kerana saya menjual produk gamat. Saya tidak mengendahkan kata negatif daripada orang sekeliling. Saya korbankan waktu tidur dan tidak menonton TV selama setahun. Ketika itu Mawi AF merupakan satu fenomena tetapi saya langsung tidak mengenali siapa beliau.



Diuji Lagi

Bermula tahun 2007, bisnes MLM saya semakin menurun. Saya tenggelam punca. Memandangkan saya telah berkahwin dan mempunyai anak kecil tambahan pula isteri tidak bekerja, saya merasa semakin tertekan.

Saya tetap bersabar. Wang dibelanjakan secara berhemah dan kami sekeluarga mengamalkan kehidupan bersederhana. Anak saya tidak mempunyai hiburan lain selain dari menonton DVD. Itu sahaja yang mampu saya lakukan untuk menghiburkan hati siteri dan anak saya.

Saya mula semula dari bawah. Saya tidak menafikan kehidupan ketika itu membuatkan saya betul-betul tertekan.

Apabila balik ke kampung, saya berlagak seperti tidak ada masalah. Tetapi arwah emak saya tahu bahawa saya dan keluarga dalam kesusahan.

Arwah emak berpesan kepada adik dan kakak saya untuk membantu saya jika dia sudah tiada nanti. Arwah emak berkata demikian kerana risau saya akan membuat pinjaman dengan Ah Long.

22 Julai 2008 emak pergi untuk selama-lamanya. Dalam poket pada waktu itu hanya ada RM 100 sahaja. Tidak cukup wang untuk balik kampung di Kedah bagi menziarah arwah emak jadi saya terpaksa menumpang kereta abang.

Sebelum emak meninggal, saya sempat memberitahu kepada beliau niat saya untuk menceburi bisnes online. Mak merestui pilihan saya dan berkata “Mak doakan Zaki berjaya”.

Saya rasa terkilan. Malangnya emak meninggal tanpa sempat melihat kehidupan saya yang lebih senang sedikit sekarang.

Titik Tolak Permulaan JelitaSARA

Setahun setelah kematian emak, kakak saya menyarankan kepada saya untuk menjual tudung kerana ia merupakan trend buat masa ini. Kakak mempunyai 20 helai tudung ketika itu dan memberikan kepada saya untuk dijual.

Saya hanya memandang isteri saya dan menyuruhnya untuk mencuba tudung tersebut. Tudung itu kelihatan cantik dan saya pun bersetuju untuk menjualnya.

Memandangkan saya tidak mempunyai wang, saya minta kebenaran kepada kakak untuk mengambil dahulu tudung dan bayar kemudian setelah tudung habis terjual.

Dengan rela hati, kakak saya membenarkannya. Mungkin dia nampak kehidupan saya dan keluarga yang susah ketika itu jadi dia menolong setakat yang termampu.


Saya mula menjual tudung melalui bonet kereta depan kilang saya bekerja. Kemudian saya terfikir mengapa tidak saya menjual tudung secara online. Saya membeli domain www.jelitasara.com dengan kos RM 50 termasuk hosting.

Seperti kata pepatah Inggeris, the rest is history. Saya bersyukur dengan perkembangan JelitaSARA sekarang.

Walaupun jenama ini mula dikenali ramai dan saya bertindak sebagai CEO, masih banyak lagi perkara yang saya perlu belajar dan banyak lagi cabaran yang perlu dihadapi di kala jenama-jenama baru muncul dengan lebih gah dan kreatif.

Hingga ke hari ini saya masih lagi membuat perkara-perkara asas seperti mengangkat tudung dan kain kesana-sini. Saya tidak merasa kekok kerana saya sedar akan asal usul saya.

Jika saya perlu mengangkat 100 gulung kain sekalipun untuk tudung JelitaSARA, saya masih akan membuatnya denagn penuh bersemangat. Saya tidak banyak merungut. Saya hanya memohon kepada Allah agar mengurniakan saya kesihatan yang baik.

Akhir sekali, nasihat saya kepada usahawan diluar sana, ‘Jangan mudah berputus asa’.


Friday, June 12, 2015

Profil Hartawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut Forbes beliau mempunyai harta bernilai AS$1.7 billion pada 2010 seterusnya menjadi orang kelapan terkaya di Malaysia pada 2010.

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951. Beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970.

Tan Sri yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.

Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.
Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang singkat.

Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.

Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

Latarbelakang Ringkas Syed Mokhtar

– Tahun lahir : 1951
– Pendidikan: SPM
– Mula berniaga: umur 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
– Kekayaan: AS$1,700 juta
– Ke 8 terkaya di Malaysia
– Ke 655 terkaya di Dunia (Forbes)
– Antara syarikat miliknya: MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
– Kereta: Proton Perdana
– Sumbangan sosial :

Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.




Bagaimana sumbangan sosialnya bermula?


Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

Berikut adalah merupakan antara ekstrak ucapan beliau.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah .

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.




20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.

Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.




37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

P/s: Artikel asal kami ambil dengan kebenaran bertulis daripada Gempak.Org



Kisah Pemilik Wisputih Menjana 90k Ketika Masih Di Sekolah, Jatuh Dalam Bisnes Dan Bangkit Semula

Kisah ini kami tulis semula atas kebenaran Sofea Ilias hasil coretan di laman Facebook beliau. Semoga ia dapat memberi inspirasi kepada yang terlibat dalam pernigaan. Jatuh bangun dalam bisnes itu lumrah, teruskan usaha dan jagan mudah berrputus asa. 

Tak Minat Belajar, Hanya Mahu Berbisnes 


 Ramai yang bertanya kisah suka-duka saya sebelum mencapai kejayaan seperti hari ini. Mungkin ada yang pernah kenal saya sebelum ini. Untuk pengetahuan anda, saya datang ke Kuala Lumpur semasa berumur 18 tahun. Keputusan SPM saya ialah 3A+, 3A, 2A-, 1B+. 

 Ketika disekolah saya tak minat belajar, hanya fikirkan tentang bisnes. Saya dapat melanjutkan pelajaran ke UiTM tetapi saya berhenti setelah 6 bulan disana. Saya ada keinginan untuk belajar perubatan kerana ingin menjadi Doktor Estetik. 

Namun begitu, pernah seorang doktor memberitahu saya ‘awak takkan jadi jutawan dengan kerjaya sebagai doktor’. Kata-kata doktor itu telah membuatkan saya rasa tercabar. Saya memasang impian untuk mempunyai produk sendiri ketika berumur 16 tahun. 

 Belajar Menjual Produk Orang Lain 


Ketika Di Sekolah Disebabkan minat yang mendalam dalam bisnes, saya bermula dengan menjual produk yang telah dipakej semula bernama Glutamax. Ketika itu saya masih lagi bersekolah di sekolah berasrama penuh di Kuantan. 

Oleh kerana pelajar tidak dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke sekolah, setiap hari saya akan ke keperasi sekolah untuk menggunakan internet selama 1 jam bagi melayari Facebook dan blog untuk menjual. Saya akan ambil nombor telefon pelanggan yang ingin membeli produk. Setiap malam setelah pulang dari kelas saya akan telefon pelanggan tersebut menggunakan telefon awam. 

Bayangkan betapa gigihnya saya perlu tukar duit syiling ketika itu. Saya mula melebarkan networking dan mengenali pemborong kecantikan seperti Atie, Best Buy Beauty Plaza, Hamizah Harun, Mimi Maiza (pemilik Satin Skinz), Rizi Biz, Lid Bauty Mall dan banyak lagi (maaf saya tak berkesempatan untuk sebut semua nama). 

 Saya cuma ada waktu terluang pada hari Jumaat setelah selesai solat Jumaat untuk tujuan pengeposan barang. Itulah rutin saya setiap minggu sehingga ke tingkatan 5. Kerana azam yang kuat, saya tidak pernah berasa penat. Setelah pulang dari pejabat pos, saya akan semak baki duit di Bank Rakyat kerana pada masa tu hanya bank ini sahaja yang ada berdekatan Taman IM 5 Kuantan. 

Simpanan terkumpul saya ada dalam RM 1800 hasil daripada bisnes tersebut. Ketika itu, telefon touch screen dan Samsung mula menjadi fenomena dan tab telah dikeluarkan. Saya teringin nak beli Tab 7.0 jadi saya telefon ayah dan beritahu saya ingin pinjam RM 700 untuk beli tab supaya memudahkan urusan bisnes saya. Saya masih ingat ketika itu saya sedang dalam peperiksaan percubaan SPM. 

Kalau gunakan wang sendiri untuk beli, simpanan saya hanya akan tinggal RM 300. Macam mana nak pusing modal jika saya gunakan semua simpanan wang untuk beli tab. Memang rasa sayang untuk belanjakan wang memandangkan jumlahnya agak besar juga untuk saya.

Simpanan Mencapai RM 90K


Terima kasih kepada Ayah kerana berikan saya untuk pinjam wang beliau. Nak dijadikan cerita, produk Glutamax meletup dipasaran dan ia merupakan durian runtuh bagi saya. Sehingga tamat SPM, saya dapat menyimpan wang mencecah RM 90k hasil jualan Glutamax. Itulah hasil bisnes yang saya jalankan sepanjang di tingkatan 4 dan 5.

Hasil duit itu jugalah saya gunakan untuk menampung kos melanjutkan pelajaran di UiTM.
Seperti yang saya katakan di awal tadi, saya berhenti belajar setelah 6 bulan kerana saya lebih cenderung untuk mempunyai perniagaan sendiri.

Berhenti Belajar


Ayah tak marah saya kerana dia tahu saya memang minat dan pandai menguruskan bisnes. Ayah jugalah yang banyak membantu saya ulang alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan menaiki Kancil untuk menambah stok barang. Ayah sebenarnya menghadapi gout, sering bengkak kaki tetapi beliau berkeras untuk membantu saya kerana tidak mahu saya menaiki bas seorang diri untuk mengambil produk.

Setelah berhenti belajar saya mula berjinak dengan dunia modelling dan menubuhkan Sofea Estetik. Bisnes dalam bidang modelling ini tidak mudah. Banyak wang dihabiskan untuk membuat comcard. Sehinggalah simpanan saya hanya tinggal RM 3k dan saya terpaksa merempat kerana tidak ada wang untuk menyewa rumah.

Saya berterima kasih kepada kawan modelling saya iaitu Ratu Dewi kerana membenarkan saya untuk tumpang rumah dia. Disaat susah ini, saya mula merenung semula kehidupan. Dulu ketika ada wang berlagak nak tinggal di hotel. Bila jadi begini baru mula belajar untuk beringat.

Dengan sedikit wang yang ada saya berpindah ke Ukay Perdana dan mula menghasilkan produk Aurora tanpa bantuan sesiapa pada mulanya. Saya jual menggunakan Facebook peribadi. Saya langsung tidak mengetahui mengenai FB Ads dan pemasaran. Ketika itu saya cuma yakin bahawa produk ini bagus dan dapat bertahan lama.

Saya terpaksa bungkus produk dan pos barang seorang diri. Sambutan sangat menggalakkan. Hampir setiap hari saya menerima tempahan sebayak 1000 botol. Aurora mempunyai 11 jenis produk. Oleh kerana tidak mempunyai kereta, saya terpaksa berulang-alik setiap hari ke Pejabat Pos Taman Melawati menaiki teksi. Saya masih ingat lagi pemandu teksi itu sampai sekarang. Namanya Kiki.

Begitulah rutin saya setiap hari mengangkat barang pos yang sangat berat. Saya buat juga tanpa kenal erti penat. Untuk kerja pengubahsuaian reka bentuk produk saya buat di Achik Printing. Ada 2-3 orang staf  disana yang baik melayan saya menghabiskan kerja printing sehingga malam.

Dulu tiada duit dan tak tahu dimana untuk membuat printing sticker jadi saya terpaksa potong dan tampal sendiri pelekat produk. Semuanya terpaksa dilakukan sendiri sehinggalah saya berjumpa dengan Camelia.

Saya berpindah ke Ipoh setelah dihalau oleh kawan rumah sewa saya di Ukay Perdana. Almaklumlah kawan saya itu akan berkahwin dengan pengarah filem. Jadi sesuailah saya yang miskin ini dilayan begitu. Akibat daripada peristiwa itu saya bertekad untuk menjadi jutawan. Saya tidak mahu lagi dipijak orang. Rasa sangat terhina bila tak berduit.

RM 1 Juta Yang Pertama


Sepanjang 4 bulan di Ipoh, saya tak keluar rumah kerana ingin fokus. Ketika itu bulan puasa. Saya tidak mempunyai mood untuk menyambut Raya. Saya fokus untuk mebangunkan Aurora. Alhamdulillah pada Julai 2013, saya capai 1 juta yang pertama.

Saya berpindah ke Klang semula untuk menghasilkan Wisputih pada tahun 2014. Alhamdulillah, dengan Wisputih capai sekali lagi 1 juta dalam tempoh 3 bulan kali ini atas bantuan Safuan dan tim Marketing Virus.

Untuk tahun 2015 saya letupkan semula Aurora. Tahun ini berlainan dan lebih seronok kerana tak perlu lagi tampal sticker sendiri. Alhamdulillah sehingga ke hari ini Aurora telah mencatat jualan sebanyak RM 2 juta juga atas bantuan tim Marketing Virus.

Jika dulu saya naik teksi, sekarang saya ada 5 buah kereta; Camry, Audi, Mini Cooper, Hilux dan Hummer. Kesemuanya saya beli secara tunai. Saya telah belajar daripada pengalaman. Apa yang penting ialah jangan lupa asal usul dan kalau nak berjaya, jangan mudah putus asa.



Kalau saya pada usia yang muda boleh melakukannya, takkan lah anda yang lebih matang dan
punya banyak kemudahan seperti kereta tidak boleh buat?

Bila ada orang hina dan caci saya, saya tidak mengendahkannya dan hanya senyum kepada mereka. Kenapa? Kerana saya dah lalui fasa kehidupan yang sangat susah dan hina dalam hidup. Cacian itu ibarat pembakar semangat kepada saya.

Kredit : majalahniaga.com