Sunday, March 18, 2012

Kisah Kejayaan - Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu)



DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di ‘gerai kecil’ milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

“Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


“Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.

“Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif ‘menjaja’, dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat ‘pemantauan’ yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti ‘duduk diam’, pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

“Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk ‘membuli’ saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

“Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah,” katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

Kredit : Metro


Wednesday, March 14, 2012

Kisah Kejayaan Ainual Azhar Jasmi – Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd

PENOLAKAN sering dianggap sesuatu yang negatif dan mudah membuat seseorang kecewa. Namun jika direnungkan kembali, pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian, malah kadangkala lebih banyak kebaikan tersembunyi.

Tiga belas tahun lalu, anak Kuala Pilah itu yang bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan sos milik Bumiputera pernah mencadangkan kepada majikannya supaya mengeluarkan mayonis. Beliau yakin produk itu boleh pergi lebih jauh di masa akan datang dan menjadi makanan digemari rakyat Malaysia.



“Ketika itu mayonis belum popular dan dianggap makanan orang Barat. Apabila saya mencadangkan majikan mengeluarkan mayonis, cadangan saya dipandang sepi kerana majikan tidak berani meneroka pasaran bagi produk baru itu.

“Ini menguatkan semangat saya untuk mengusahakannya sendiri. Saya berhenti kerja dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengusahakan produk berkenaan sebelum menghasilkan produk dua tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuknya merintis jalan membangunkan produk yang belum dikenali. Membuat mayonis bukan sesuatu yang mudah.

“Untuk menghasilkan produk baru, kita perlu ada pengetahuan, kefahaman dan teknik pembuatan produk. Untuk mendapatkan pendedahan lanjut mengenai teknik pembuatan mayonis, saya ke Jerman hampir sebulan.

“Tiba di sana, saya dapati teknologi digunakan pengeluar mayonis di negara itu terlalu tinggi. Saya mencari kaedah bagi pemprosesan yang tidak membabitkan pelaburan tinggi. Mengikut kemampuan yang ada, saya berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknik konvensional,” katanya yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi makanan.

Syarikatnya, AJ Food Industries (M) Sdn Bhd berjaya menghasilkan mayonis sendiri diberi nama Jasma iaitu gabungan nama bapa dan ibunya iaitu Jasmi dan Asma. Tidak seperti mayonis di negara Barat dan Arab yang masam, mayonis Jasma bersesuaian cita rasa masyarakat tempatan iaitu rasa masam tetapi lemak manis.

Ketika memperkenalkan produk, Ainual turun padang meminta pekedai memberi peluang kepadanya memasarkan produk. Walaupun pada peringkat awal mereka sukar menerima kerana ada syarikat pesaing yang memonopoli pasaran, penerimaan berperingkat membolehkan Jasma berlegar di pasaran.

Sesuatu yang ajaib, ternyata Ainual bernasib baik atau ‘langkah kanan’ kerana tiba-tiba syarikat pesaing yang mengeluarkan produk mayonis menghadapi masalah membekal. Ini membuka ruang yang luas untuk Ainual memperkenalkan produk Jasma.

“Saya tidak menghadapi masalah besar untuk memasarkan produk walaupun ia belum dikenali dan baru di pasaran. Walaupun pada masa itu pembungkusan kurang cantik, ditambah ia bukan produk makanan tempatan, pekedai dengan mudah memberi peluang saya memasarkan produk Jasma. Namun, kegembiraan itu cuma bersifat sementara kerana apabila syarikat pesaing mengetahui perkara itu, mereka terus melambakkan barangan mereka di pasaran,” katanya.

Tahun pertama dipasarkan, mayonis AJ Food Industries (M) Sdn Bhd mencatat jualan drastik, malangnya jatuh menjunam pada tahun kedua akibat lambakan produk pesaing selain masalah dengan kualiti produk Jasma.

“Mayonis yang kami pasarkan menghadapi masalah kerosakan ketika dalam pasaran. Masalah berlaku pertengahan 2000 dan berlarutan hingga 2004 menyebabkan syarikat hampir ditutup.

“Keyakinan pekedai menurun hingga memberi masalah untuk memasarkan kembali produk disebabkan sukarnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Pada 2004, syarikatnya bangkit daripada kejatuhan dan mengambil masa dua tahun untuk membina semula nama.

“Seperkara yang saya peroleh daripada kejadian itu ialah pelanggan perlu dijaga. Syukur, mereka masih memberi peluang kepada saya memasarkan produk di pasar raya mereka,” katanya.

Menurutnya, antara kekuatan untuknya bangkit daripada kegagalan itu ialah apabila pekerjanya masih setia dan sanggup bersama mengharungi kesusahan dialami syarikat.

Antara pengalaman dilalui ketika memasarkan produk ialah pulang malam dan awal pagi. Malah, beliau pernah ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu menghantar barangan ke Gua Musang kerana tidak memiliki lesen kenderaan membawa barang (GDL).

“Saya nekad meminjam van abang untuk menghantar barangan walaupun tiada lesen kenderaan membawa barang,” katanya.

Bercita-cita menjadikan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dalam pengeluaran mayonis untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, Ainual kini dalam perancangan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah di pasaran iaitu melalui penghasilan makan berasaskan mayonis.

Bagi menjaga nama baik dan kualiti produk, syarikat menyimpan sampel mayonis setiap kali pengeluaran untuk rujukan.

“Kami pernah melalui pengalaman kurang menarik iaitu produk dipasarkan rosak dan apabila merujuk sampel, didapati ia juga rosak. Setiap sampel disimpan sebagai rujukan jika berlaku kes bekalan rosak di pasaran. Selain itu, kami membuat analisis makmal dan analisis kimia bagi memastikan produk dalam keadaan baik, malah pelawat juga tidak digalakkan melawat kilang pemprosesan bagi mengelak pencemaran,” katanya.

PROFIL

NAMA: Ainual Azhar Jasmi
UMUR: 47 tahun
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
JAWATAN: Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Diploma Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) (1981-1983), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan, UPM (1984-1988)
ISTERI: Rokiah Hashim
ANAK: Nurul Syahidah (20); Maisarah (19), Mohd Hafiz Syamil (14) dan Amirah (10)

credit to HMetro

Kisah Kejayaan Dr Rozmey – Herba Prima Marketing Sdn Bhd



Bertapak sebagai sebuah syarikat pengeluar produk makanan kesihatan, Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) yang diasaskan oleh Datuk Dr Che Rozmey Che Din bersama arwah isterinya, Noor Halawiyah Abdullah Shukri di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, Kedah telah mencipta satu fenomena baru kepada pengguna di negara ini.

Beroperasi pada awal 2006, Datuk Dr Che Rozmey yang juga seorang pakar perbidanan dan sakit puan menggunakan kemahiran sebagai seorang doktor pakar untuk menformulasi produk kesihatan sendiri iaitu Jus Mate 5.

Sentuhan dan tindakan berani itu membuahkan hasil apabila kejayaaan demi kejayaan dicipta oleh pengasas HPM itu.

Tindakan berani disertai dengan konsep kejujuran, keikhlasan dan berkat kesabaran menghadapi ujian Allah membawa kepada kejayaan luar biasa sehingga beliau sendiri tidak percaya dengan kejayaan yang begitu pantas itu.

Bermula dengan sebuah pejabat yang dikongsi bersama Jitra Medical Centre (JMC) yang ketika itu menjadi pemangkin kepada pendapatan utamanya, HPM mengorak langkah dengan begitu pantas apabila berjaya membina empayar perniagaan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Kini bangunan JMC itu menempatkan lebih 300 kakitangan HPM dari pelbagai unit yang bertugas 24 jam bagi memberi perkhidmatan yang berbaik kepada pengguna dan pengedar.

Kejayaan demi kejayaan tercipta apabila produk HPM terutama Jus Mate 5 mula memberi ganjaran kepada pengguna. Konsep guna baru jual yang dipratikkan oleh Dr Rozmey membuahkan hasil apabila ribuan testimoni pengguna tampil untuk memberi pengakuan.

Tsunami baru melanda perniagaan HPM apabila medium media cetak yang digunakan oleh Dr Rozmey untuk mencanangkan kejayaan testimoni mendapat maklum balas di luar jangkaan sehingga memaksanya untuk meningkatkan perkhidmatannya termasuk memperkenalkan system belian online.

Selepas empat tahun beroperasi, warga HPM patut berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sehingga syarikat dipelopori oleh usahawan bumiputra ini mampu berdiri sama gagah dengan syarikat lain di Negara ini.

Perjenamaan baru dR Rozmey selaras dengan perkembangan HPM membawa kepada perkembangan cabang perniagaan baru seperti dR Rozmey Skin Care, dR Rozmey Beauty Slimming Fitness Centre (RBSFC), dR Rozmey Body Shop, dR Rozmey Fashion, dR Rozmey Sport Wear dan dR Movie Production.

Kisah Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary



Biodata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Umur : 53 tahun
Pendidikan : SPM
Mula berniaga : 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan : RM1,425 juta
Ranking : Ke 7 terkaya di Malaysia Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Antara syarikat miliknya :

MMC,
Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS,
Gardenia,
DRB-HICOM dan
Bank Muammalat
Kereta : Proton Perdana

Sumbangan sosial:


Yayasan Al-Bukhary,
Institusi pengajian untuk 3,000 pelajar,
Muzium Kesenian Islam,
Kompleks Al-Bukhary,
Menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu,
Pengindahan Masjid Negara,
Sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan
Menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan
haji.
Masjid di Lapangan Terbang Senai,Johor

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula.

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan.

Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau
untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah
pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

Mutiara kata…..

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain.

Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.

Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

Friday, February 3, 2012

Portal lot.my bantu usahawan


KEBANYAKAN orang mungkin pernah memasang impian menjadi usahawan berjaya sehingga mampu menjana keuntungan besar.

Pelbagai angan-angan bermain di fikiran seperti memikirkan jenama, produk yang ingin dipasarkan dan platform terbaik untuk memasarkan barangan.

Bagaimanapun, apabila memikirkan modal yang besar perlu diperuntukkan sebelum dapat menubuhkan sesuatu cabang perniagaan, ramai mengangkat bendera putih.

Menyedari potensi sektor perniagaan, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada Mohd. Akmal Akhpah, Shahabudeen Jalil, Mohd. Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd. Alif Nordin telah membangunkan portal lot.my dalam memberi platform kepada bakal-bakal usahawan tanpa memerlukan modal besar.

Salah seorang yang membangunkan portal berkenaan, Shahabudeen, 29, berkata, lot.my telah ditubuhkan pada tahun 2010 untuk memberi peluang kepada usahawan membuka perniagaan melalui medium dalam talian.

Dia memberitahu, tujuan utama pembikinan portal berkenaan adalah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam talian bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita mendapati terdapat beberapa faktor yang menjadi batu penghalang utama sehingga membantutkan hasrat bakal usahawan ini untuk memulakan perniagaan dalam talian.

“Antaranya ialah kos pembikinan laman web e-dagang yang agak tinggi, tidak mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan saluran pemasaran tidak berkesan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Shahabudeen menjelaskan, ia juga diharap dapat mengubah paradigma masyarakat terhadap perniagaan melalui internet apabila terdapat persepsi yang mengaitkan bidang perniagaan dalam talian sebagai bidang berisiko tinggi.

Katanya, lot.my ingin mengubah persepsi tersebut dengan memaparkan perniagaan dalam talian sebagai satu bidang yang patut diceburi oleh semua pihak, termasuklah usahawan-usahawan yang baru menceburkan diri dalam perniagaan.

“Teknologi yang sedia ada membolehkan perniagaan dalam talian dijalankan dengan mudah dan dapat dilakukan secara separuh masa, malah di mana-mana sahaja mereka berada.

“Ia amat sesuai apatah lagi apabila masyarakat hari ini yang sentiasa berdepan kekangan masa,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teknologi

Dalam pada itu, M. Alif Nordin, 29 menjelaskan, sistem lot.my dibina dengan harapan untuk membolehkan bakal usahawan mendedahkan diri kepada dunia perniagaan dalam talian secara sistematik dan kos efektif.

“Ia adalah satu aplikasi membolehkan para usahawan membuka kedai dalam talian lengkap dengan mudah dan berkesan.

“Bahkan, pengguna yang tidak mempunyai kemahiran IT boleh mengendalikannya dengan mudah. Mereka boleh memulakan kedai dalam talian dengan mendaftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk,” katanya lagi.

Efektif

Graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, pengguna tidak perlu memikirkan tentang pembelian domain, konfigurasi server, muat turun perisian atau apa jua keperluan kompleks lain untuk menggunakan lot.my.

Katanya lagi, ia berasaskan web dan pendaftaran boleh dibuat dalam masa lima minit sahaja. Pengguna tidak perlu risau tentang kos kerana ia sangat berpatutan.

Dalam pada itu, usahawan mempunyai kebebasan menukar paparan kedai dalam talian mereka dengan mudah.

Setiap modul juga boleh disembunyikan atau dipaparkan mengikut cita rasa pemilik kedai untuk menarik perhatian pelanggan.

Bagi mereka yang inginkan kelainan terdapat beratus-ratus latar belakang disediakan menanti usahawan. Ia boleh disuai padankan dengan tema kedai dan produk. Usahawan juga boleh memasukkan logo atau banner sendiri.

Sementara itu, Khairul Anwar M. Zaki, 29, memberitahu, lot.my menawarkan sistem e-dagang lengkap yang merangkumi fungsi-fungsi utama perniagaan seperti sistem katalog, pemasaran, inventori, bayaran, dokumentasi dan perhubungan pelanggan.

“Mereka boleh membuat analisis dengan melihat pelbagai statistik apabila menggunakan portal ini. Ia termasuk kehadiran harian pelawat, populariti produk, dan rekod jualan.

“Ia juga memudahkan usahawan terutama yang baru berjinak menceburi bidang ini untuk membina perniagaan secara efektif dan efisien melalui sistem pengurusan jualan teratur serta berkesan,” katanya.

Menyentuh mengenai keselamatan, Khairul Anwar memberitahu, setiap pemilik kedai akan mempunyai ruang operasi sendiri.

Katanya, hanya pemilik kedai yang boleh mengakses ruang operasi kedai mereka sendiri.

“Lot.my dibantu oleh sistem sekuriti yang tinggi dan sistem pembayaran selamat untuk memastikan keselesaan usahawan serta pelanggan mereka dalam menjalankan urus niaga.

“Kami turut menyediakan khidmat bantuan sokongan dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah dihadapi melalui tanya@lot.my,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Shahabudeen menambah, terdapat kira-kira 10,000 pengguna yang menggunakan portal berkenaan secara percuma semasa ia mula dilancarkan dua tahun lalu.

Sasaran

Katanya, pengguna yang membayar menggunakan lot.com pula adalah sebanyak 250 orang.

“Kita berharap ia dapat dipertingkatkan pada tahun ini sehingga 1,000 pengguna dengan pengenalan akaun premium.

“Akaun premium telah diperkenalkan pada tahun lalu bagi mereka yang serius dalam bidang perniagaan dengan mengenakan bayaran RM39.90 untuk satu bulan atau RM399.90 satu tahun,” katanya.

Dia memberitahu, lot.my turut memperkenalkan pakej baharu iaitu belajar sampai pandai.

Katanya, pakej tersebut akan menumpukan pembelajaran bersama usahawan dan wakil lot.my secara one on one selama enam bulan.

“Dalam pakej ini, kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM600 sahaja kepada bakal usahawan.

“Bengkel juga akan diadakan pada 3 Februari ini di Ampang Point, Kuala Lumpur.

Kredit - http://www.kosmo.com.my/

Wednesday, February 1, 2012

Kisah Kejayaan Yusuf Taiyoob Raja Kurma



“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.

Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.

“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika
Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.

Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.

Tuesday, January 31, 2012

Kisah Kejayaan Labanon aka Adly Mukhtar Flarebiz


FACEBOOK, blog, muat turun lagu, memasuki “chat rooms” di Internet memang menjadi kegemaran remaja ini, tiada bezanya dengan anak muda lain.

Adly Mukhtar banyak mencuri masa daripada setiap kesempatan yang ada untuk ke kafe siber, melayari Internet kerana di rumahnya tiada kemudahan itu.

Tapi boraknya di Internet bukan bualan kosong. Adly seronok meneroka dunia. Beliau mencari sesuatu yang bermakna setelah menyedari minatnya melayari Internet boleh membawa keuntungan pada dirinya.

Adly terpikat membaca kejayaan Irfan Khairi, pakar perniagaan Internet yang menjadi jutawan pada usia 25 tahun.

Irfan pernah dipetik sebagai berkata “cara paling mudah untuk berjaya di Internet ialah dengan mengikut jejak langkah mereka yang berjaya”.

Itu jugalah yang diikuti Adly, “Saya terfikir, kalau dia boleh berjaya kenapa saya tidak?” kata Adly memulakan bicara.

BERMULA DENGAN RM300


Adly mula menjana pendapatan di Internet pada usia 16 tahun, ketika masih di tingkatan 4 lagi. Setahun selepas itu, beliau melancarkan produk digital yang diberi nama “101 Tip Adsense Terbongkar” dan menjana pendapatan RM10,000.

Produk itu berupa e-buku bagi usahawan Internet yang berharga RM20 satu. Ia menerangkan 101 teknik bagaimana untuk memaksimum atau menggandakan pendapatan Google Adsense.

“Saya pinjam duit kawan sebanyak RM300 untuk memulakan projek ini,” kata Adly.

Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan komputer, namum nekad berhenti untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan Internet yang dijalankan dan berjanji pada dirinya untuk terus menimba ilmu bagi kemajuan diri dan masa depannya.

Pada ketika itu, beliau sudah memiliki komputer sendiri yang dibelikan ibunya untuk pengajian di universiti.

Bersama seorang rakan kampung di Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zhafran Mohd Ghani, beliau menubuhkan syarikat penyelesaian Internet Flarebiz Network dua tahun lepas.

Mohd Zhafran yang meminati apa saja berkaitan dengan reka bentuk dan pembinaan laman web, menjana pendapatan di Internet dengan membuat servis reka bentuk laman web mini atau mini sites dan e-cover di pasaran domestik dan luar negeri.

TARIK MINAT USAHAWAN

Model perniagaan Flarebiz Network lebih kepada perkhidmatan dan penghasilan produk digital seperti e-book dan servis khas untuk usahawan yang mahu memperbaiki perniagaan mereka menggunakan kuasa Internet.

Bagi tujuan meluaskan jaringan rakan dari kalangan mereka yang berminat berniaga menerusi Internet, mengumpulkan pakar dan sebagainya, Flarebiz Network mengasaskan e-majalah atau Majalah Internet Malaysia untuk mempromosi pemasaran Internet.

Mereka mahu menyedarkan pengguna tentang potensi untuk menjana wang di Internet dengan berusaha menyatukan semua usahawan pemasaran Internet tempatan menulis artikel mengenai bidang perniagaan ini.

E-majalah yang boleh dimuat turun secara percuma itu diperkenal dengan tujuan mendidik pengguna Internet mengenai potensi Internet sebagai medium atau media baru untuk menjana pendapatan.

Adly berkata majalah itu mengandungi artikel-artikel menarik, termasuk ilustrasi kartun yang mendidik pembaca dengan cara dan teknik yang betul untuk menjadikan Internet sebagai sumber pendapatan tanpa melibatkan perkara seperti sistem MLM atau pemasaran multi peringkat, sistem piramid, skim pelaburan Internet, HYIP atau program keuntungan tinggi, sistem derma duit dan tukaran wang asing secara online.

Setakat ini IM dimuat turun oleh kira-kira 20,000 orang.

KE KUALA LUMPUR


Anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat sokongan ibu bapanya walaupun berhenti belajar dalam usia muda tetapi mereka tahu anak mereka mempunyai kecenderungan yang bukan sia-sia.

Bapanya seorang ustaz lulusan Universiti Al-Azhar meninggal dunia tahun lepas, tetapi sempat melihat kejayaan Adly melalui bidang yang diceburinya.

Walaupun bisnes Internet boleh berpangkalan di mana-mana, keadaan sekeliling memaksa Adly membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka pejabat Flarebiz Network yang kini mempunyai enam lagi petugas terdiri daripada anak-anak muda berusia dalam lingkungan 20-an.

Selepas IM berjaya menarik perhatian ramai usahawan, Adly dan rakan kongsinya mahu mencipta sesuatu yang signifikan terutama dalam Bahasa Melayu untuk manfaat usahawan tempatan membawa perniagaan mereka maju setapak lagi.

Mereka bangunkan sistem kedai online – Niagakit – yang dicipta setelah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan perisian shopping cart antarabangsa yang tidak sesuai dengan keperluan urus niaga tempatan.

“Kami guna Bahasa Melayu untuk kemudahan peniaga kecil dan peniaga konvensional dengan mengajak mereka daripada berniaga offline kepada online,” katanya.

Niagakit, menurutnya, memudahkan usahawan menggunakan medium yang mereka selesa, tidak rumit dan memenuhi keperluan asas mereka.

Adly berbangga kerana kini ramai yang berjaya memanfaatkan sistem yang diperkenal beliau kerana masalah biasa yang dihadapi kebanyakan mereka ialah tidak tahu membina laman web dan kurang mahir dengan perkara teknikal untuk menjual produk di Internet .

PRODUK MALAYSIA

“Niagakit merupakan sistem kedai online khas untuk rakyat Malaysia,” dan menurut Adly, beliau dan rakan kongsinya faham apa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk menjual produk secara online.

“Dalam dunia perniagaan Internet kini anda memerlukan sebuah sistem kedai online yang benar-benar mantap dan menyediakan pelbagai fungsi menarik yang akan memudahkan kerja seseorang.

“Seseorang itu boleh melakukan semuanya sendiri bermula dengan menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah, dan tanpa perlu membazir wang dan masa untuk sistem memilih kedai online yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan,” katanya.

Sistem ini ditawarkan pada harga RM1,000 tetapi Adly dan rakan kongsi turut menganjurkan bengkel atau seminar mini, mengajar secara mendalam selok belok sistem ini dan perniagaan Internet. Caj yang dikenakan untuk bengkel separuh hari hanya RM10.

“Baru-baru ini semasa saya mengadakan seminar di Johor Bahru, orang Singapura pun turut hadir,” katanya bangga.

LAMAN WEB MINI

Flarebiz Network juga mencipta laman web mini, khas untuk menjual produk fizikal atau digital.

Untuk mempromosi produk mereka, Flarebiz Network mengadakan bengkel membina laman web mini yang memberikan panduan kepada peserta bagaimana untuk membina web mini dalam masa yang singkat tanpa perlu mengetahui perkara teknikal, yang sukar.

Biasa yang hadir ialah usahawan muda dan usahawan wanita yang mahu bekerja dari rumah, menjual tudung, pakaian, barang antik dan sebagainya.

Kebanyakan yang menggunakan sistem kedai online ini, menurut Adly ialah golongan berusia 25-40 tahun.

“Kebanyakan mereka bermula dengan bisnes konvensional. Kami ada pangkalan peminat dan yang berjaya akan berkongsi cerita di facebook, dari situ kaki turut memantau perkembangan perniagaan mereka.

“Saya sendiri belajar dan mendapatkan informasi (selain buku) daripada rakan pakar-pakar bisnes ini melalui jaringan Internet juga, berkongsi pengalaman, menggunakan konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya,” katanya.

Kini menurut Adly, Flarebiz Network menjana pendapatan dalam lingkungan lima angka setiap bulan dan beliau mengambil gaji sebanyak RM5,000 sebulan.

CABARAN YANG DIHADAPI

Dalam setiap perniagaan sudah tentu ada jatuh bangunnya. Bagi Adly pengalaman pahit beliau ialah, bila pelaburannya mula-mula datang ke Kuala Lumpur membeli mesin mencetak t-shirt berharga RM10,000 daripada seorang kawan, terbengkalai begitu saja.

“Ketika itu saya anggap dunia perniagaan ini kejam, tapi dari situ saya belajar daripada kesilapan.

“Saya bangkit semula atas sokongan rakan-rakan dan pakar, seperti seorang usahawan IT di Kelantan. Kebanyakan mereka saya kenali melalui jaringan di Internet,” katanya.

Adly sedar dalan perniagaan Internet dan perkembangan di dalam Internet itu sendiri membuatkan dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dibangunkan.

Adly juga percaya budaya membeli-belah secara online yang menjadi trend di banyak negara akan menjadi amalan di negara ini suatu hari nanti.

Maka itu beliau agresif menjaja Niagakit, mengadakan seminar mengenai penggunaannya dan memberi penerangan kepada usahawan lain.

Beliau memegang kata-kata pengasas Microsoft dan hartawan Bill Gates: “Dalam abad 21 ini kalau bisnes tiada dalam online, ia bukan bisnes.”-

credit to BERNAMA